Penyerang berbisa PDRM iaitu Ifedayo Olusegun kekal berbisa dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), dan beliau membuktikan dirinya masih lagi relevan selaku antara penggempur import berbahaya.
Terbaharu, Ifedayo meledak jaringan hatrik sulung beliau pada musim ini bersama Sang Saka Biru ketika pasukan itu menumpaskan cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) menerusi keputusan 5-0.
Beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad kendalian P. Maniam tampil begitu garang membolosi gawang lawan seawal minit kelima menerusi Ifedayo, sebelum pemain kelahiran tersebut melakar hatrik hanya pada babak separuh masa pertama.
Namun, ketajaman beliau tidak dapat diteruskan setelah dirinya menerima layangan kad merah menerusi pengadil bertugas, Muhammad Munir Mohd Izan.
Walaupun begitu, ianya tidak menghalang Ifedayo kini untuk menjadi antara peledak berbisa di Liga M, walaupun semakin dibatasi oleh usia.
Imbas kembali perjalanan beliau di Malaysia, Ifedayo pernah mewakili beberapa pasukan serta paling menonjol ketika menyarung jersi Selangor.
Sepanjang bersama Selangor, pemain berusia 33 tahun itu telah muncul selaku penjaring terbanyak untuk dua kali serta cukup digeruni mana-mana pertahanan lawan.
Walaupun kini kualiti Ifedayo dilihat semakin terbatas jika dibandingkan pada masa-masa hebat beliau ketika mewakili Selangor lalu, sentuhan beliau jelas masih tidak boleh dinafikan oleh mana-mana peminat bola sepak tempatan.
Untuk musim ini di pentas Liga Super, Ifedayo telah pun merekodkan lapan gol secara keseluruhan daripada 13 perlawanan dihadapi bersama PDRM.
Secara keseluruhan di saingan domestik pula, pemain tersebut telah beraksi sebanyak 16 perlawanan serta merekodkan sembilan gol secara keseluruhan bersama aksi cukup menyakinkan.
Melihat kepada momentum semasa Ifedayo ketika ini, bukan suatu yang menghairankan jika beliau mampu mengekalkan konsistensi untuk meledak lebih daripada 10 gol sebelum saingan liga tamat.
Gandingannya bersama Shahrel Fikri serta Bruno Suzuki jelas tidak boleh dipandang remeh mana-mana pertahanan lawan kerana kemampuannya masih cukup menyakinkan.
Apapun, kami sendiri di Semuanya BOLA tidak sabar untuk mengetahui statistik penuh beliau selepas saingan Liga M musim ini tamat, jika beliau mampu untuk terus tampil selaku mesin gol PDRM.