Nama penyerang import Penang iaitu Rodrigo Dias mungkin tidak begitu popular dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam kalangan penyokong tempatan atau lebih kerap dikritik oleh peminat sendiri.
Apa tidaknya, Dias dianggap sebagai salah satu penyerang yang tumpul serta kurang memberikan impak besar buat Penang di pentas domestik pada saingan setakat ini.
Ditandatangani pada saingan musim 2024/2025, pemain dari Brazil ini awalnya ditagih para penyokong selaku mesin gol kelab selepas beberapa penyerang import pasukan tersebut sebelum itu kurang memberansangkan.
Namun, kebanyakan penyokong mereka menyifatkan skrip sama turut berulang selepas impak diharapkan daripada Dias tampil tidak begitu memberansangkan di atas padang.
Namun siapa sangka, secara perlahan-lahan Dias bersama Penang semakin menyerlah di Malaysia daripada segi jumlah penghasilan gol sehingga meletakkan dirinya kini selaku antara penjaring terbanyak Liga Super 2024/2025.
Ketika ini, Dias berada di tangga ketujuh selaku antara 10 penjaring terbanyak semasa Liga Super setelah beliau sudah menghasilkan enam gol bersama dua bantuan jaringan daripada 14 perlawanan.
Malah, secara peribadi Dias telah pun merekodkan tujuh jaringan secara keseluruhan bagi semua saingan domestik disertai beliau bersama Penang.
Secara tidak langsung ia menjadikan Rodrigo selaku antara pemain import paling bernilai pada saingan musim ini jika dilihat pada statistik gol dihasilkan beliau buat pasukan tersebut.
Statistik itu juga jelas jauh lebih baik jika dibandingkan penyerang prolifik lain di pentas Liga M dengan Dias turut memintas jumlah gol dihasilkan oleh Kpah Sherman (Sri Pahang), Alvin Fortes (Selangor), Ifedayo Olusegun (PDRM), serta ramai lagi.
Malah, jumlah jaringan tersebut mungkin akan terus bertambah kerana saingan liga masih panjang untuk Dias dan rakan sepasukan lain hadapi musim ini.
Walaupun begitu, ada sebab juga mengapa sesetengah penyokong Penang tampil mempertahankan kenyataan Dias masih belum berbaloi buat pasukan tersebut kini.
Ia kerana Dias kurang efektif daripada segi gerakan ke arah gawang gol serta ancaman beliau selaku penyerang import kurang dirasai oleh peminat sejak awal musim.
Apapun, statistik tersebut tidak menghalang untuk membuktikan Dias selaku antara penyerang import paling berbisa kini di pentas Liga M menerusi jumlah gol direkodkan pemain dari Brazil itu.
Malah, beliau berpeluang untuk terus menambah koleksi gol malam ini berhadapan Kedah Darul Aman (Kedah) jika aksi konsisten terus ditampilkan penyerang ini.