Bintang bola sepak Kelantan Darul Naim (KDN) iaitu Oday Kharoub dilihat mampu untuk memberi ancaman berbahaya kepada Selangor pada aksi sulung mereka di pentas MFL Challenge Cup hari ini.
Terdahulu, Kelantan Darul Naim (KDN) bakal menghadapi Selangor pada aksi pusingan suku akhir pertama kejohanan tersebut di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan status selaku tuan rumah.
Prestasi KDN sebenarnya boleh dianggap cukup mengecewakan ketika ini jika dilihat pada statistik semasa setelah kali terakhir pasukan itu merasai kemenangan pada 27 September lalu ke atas Negeri Sembilan bagi saingan Liga Super.
Selepas itu, pasukan tersebut hanya merasai kekalahan serta seri sahaja bersama aksi cukup tidak menyakinkan di atas padang walaupun ada beberapa perubahan dibuat.
Berbanding Selangor, pasukan ini dianggap serba lengkap dan menjadi pilihan utama untuk memperoleh kemenangan ke atas pasukan lawan jika dilihat pada momentum semasa serta kualiti pada para pemain.
Namun, The Red Giants tidak boleh mengambil mudah akan cabaran KDN kerana sudah tentu pasukan tersebut ingin mencipta kejutan selain turut memiliki beberapa pemain berkualiti tinggi.
Berikut merupakan tiga pemain yang dijangka akan memberi impak besar sepanjang perlawanan tersebut berlangsung di MBPJ dengan membabitkan kedua kelab itu.
Oday Kharoub
Pemain tengah KDN ini mungkin boleh dianggao sebagai salah seorang tonggak import paling berbaloi serta memiliki kualiti cukup tinggi pernah ditandatangani pasukan tersebut pada saingan musim 2024/2025.
Hadir dengan status pemain kebangsaan Palestin, Oday dilihat menjadi watak utama yang menggerakan serangan KDN serta memiliki keupayaan tinggi mengawal tempo permainan selain kerajinan beliau bergerak di serata arah padang.
Tidak hanya tertumpu kepada tengah dan pertahanan, Oday juga memiliki keupayaan melakukan umpanan berbahaya serta kreatif mengatur serangan bersama rakan sepasukan lain.
Alvin Fortes
Pemain sayap kanan Selangor ini antara yang sangat konsisten sejak awal saingan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung selain memberi impak besar kepada The Red Giants ketika di pentas AFC Champions League Two (ACL 2).
Masih segar dengan salah satu jaringan ketika Selangor membenam cabaran Negeri Sembilan menerusi keputusan 4-0, sudah tentu Fortes ingin terus membuktikan ketajaman beliau kepada penyokong setia kelab tersebut.
Kelincahan dan ketajaman beliau sentiasa menjadi igauan ngeri buat pertahanan lawan, selain kualiti dimiliki bekas pemain kebangsaan Cape Verde itu terarah kepada sepakan percuma dari jarak jauh.
Faisal Halim
Faisal kini secara perlahan-lahan sedang mengembalikan semula prestasi asal beliau di atas padang setelah beberapa kali diberi peluang beraksi bersama rakan sepasukan lain sejak beberapa bulan lalu.
Walaupun masih tidak menyamai prestasi asal beliau, Faisal masih sangat berbahaya kerana kelincahan beliau masih mampu untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Malah, pemain ini juga memiliki keupayaan untuk memanipulasi kelemahan pertahanan lawan menerusi gerakannya yang lincah serta cepat menghidu peluang mendapatkan jaringan.