Malaysia secara rasminya bakal menghadapi cabaran Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada hari esok dengan aksi bertemu Kemboja dalam misi mereka untuk meraih kemenangan sulung.
Membawa harapan tinggi para peminat, Pau Marti Vicente berdepan sedikit kesukaran apabila ramai muka baharu terpaksa dipanggil untuk melengkapkan skuadnya ke saingan tersebut.
Melihat kepada aksi tersebut, rata-rata menjangkakan Harimau Malaya mampu mencatat kemenangan jika dilihat pada reputasi kedua negara tersebut di pentas antarabangsa.
Namun, Pau Marti perlu mengingatkan para pemain beliau supaya sentiasa berwaspada kerana Kemboja juga sudah tentu berada pada motivasi terbaik untuk cuba mencipta kejutan.
Apatah lagi ia merupakan aksi sulung buat Harimau Malaya yang dilihat Pau Marti pasti akan menggunakan beberapa pemain baharu untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.
Untuk aksi hari ini, kami melihat tiga pemain Harimau Malaya yang dijangka bakal memberi impak besar pada aksi bertemu Kemboja dalam misi mendapatkan kemenangan
Syafiq Ahmad
Tonggak utama Kedah Darul Aman (Kedah) ini dijangka bakal menjadi salah satu pilihan utama untuk mengetuai jentera serangan Harimau Malaya mengatasi lawan.
Berkemungkinan besar, Syafiq bakal diletakkan selaku penyerang kedua yang ditugaskan untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan serta mencipta lorongan-lorongan berguna kepada rakan sepasukan.
Kreativiti serta ketenangan Syafiq mengawal bola sudah tentu ditagih selain ketajaman beliau di bahagian kepala untuk mencipta tandukan deras ke arah gawang gol.
Stuart Wilkin
Nadi utama Harimau Malaya yang berfungsi selaku pemain tengah menyerang yang akan memainkan peranan penting untuk menggerakan taktikal Pau Marti.
Kualiti Stuart daripada segi kreativiti mencipta ‘thru ball’ berbahaya kepada penyerang utama sudah tentu ditagih untuk membuka lebih banyak peluang serangan.
Selain itu, Stuart juga mempunyai keupayaan cukup tinggi daripada segi percubaan tepat jarak jauh daripada pelbagai sudut sukar.
Dominic Tan
Pertahanan kental Sabah ini mempunyai keupayaan tinggi untuk membaca pergerakan lawan serta menyekat mereka dengan begitu cepat demi menyelamatkan keadaan pertahanan negara.
Ditugaskan selaku pertahanan tengah kebangsaan, sudah tentu kualiti Dominic ditagih untuk menyekat setiap percubaan atau ancaman berbahaya daripada penyerang lawan.
Kekuatan fizikal serta disiplin milik Dominic ditagih pada perlawanan hari ini selain membimbing pemain-pemain muda lain di atas padang bagi menghadapi Kemboja.