Tonggak pertahanan senior kebangsaan, Dominic Tan boleh dianggap kini sebagai antara pemain paling berpengalaman buat skuad Harimau Malaya yang akan mengharungi kejohanan Piala Asean 2024.
Umum mengetahui, Pau Marti Vicente telah pun membawa ramai muka-muka baharu kali ini untuk menyertai kem Malaysia ke Phnom Penh bagi mengharungi aksi sulung bertemu Kemboja.
Menghadapi cabaran yang bermula pada Ahad ini, sudah tentu beberapa muka baharu serta pemain muda kurang berpengalaman tampil sedikit gugup sebelum mereka menyesuaikan diri.
Apatah lagi para pemain ini juga membawa harapan tinggi rakyat Malaysia yang kebanyakan mahu melihat kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Disebabkan itu, Dominic tampil bersikap lebih terbuka untuk memberi bimbingan terbaik kepada rakan sepasukannya dalam kejohanan akan datang.
Pertahanan Sabah itu juga menyifatkan aksi sulung bertemu Kemboja ini sebagai cabaran getir buat pemain-pemain muda untuk tampil membuktikan kelebihan mereka di atas padang.
“Sudah tentu saya cuba yang terbaik membantu muka baru dan bantu pasukan. Sudah tentu kami mahu memenangi perlawanan tetapi aksi sulung sentiasa mustahak.
“Kami perlu dapatkan kemenangan terlebih dahulu,” kata Dominic menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Stadium Astro mengenai persiapan semasa mereka.
Untuk rekod, Dominic juga merupakan salah seorang kapten dilantik oleh Pau Marti untuk saingan tersebut selain Syamer Kutty Abba serta tonggak Kedah Darul Aman (Kedah), Syafiq Ahmad.
Terdahulu, Dominic menjadi antara wajah yang sering mewarnai skuad Harimau Malaya dalam pelbagai kejohanan di pentas antarabangsa bersama rekod tersendiri.
Pernah menjadi antara pemain paling kerap menerima kritikan penyokong, Dominic juga pernah dijulang selaku antara pertahanan berkualiti tempatan.
Sepanjang bersama skuad senior kebangsaan, Dominic telah pun merekodkan 33 penampilan secara keseluruhan selaku pertahanan tengah dan digandingkan bersama pelbagai rakan sepasukan.
Maka ini menjadi asbab pemain tersebut wajar dijadikan salah satu contoh terbaik sebagai rujukan kepada tonggak-tonggak baharu Harimau Malaya.
Sudah tentu Dominic sendiri bakal memperagakan kualiti terbaik selaku tonggak senior untuk memberi bimbingan terbaik kepada pemain-pemain baharu.