Indonesia dianggap tampil dengan serba lengkap pada saingan AFF 2024 kali ini walaupun pasukan itu dilihat menyenaraikan ramai pemain muda jika dibandingkan skuad edisi lalu.
Pada pandangan ramai, kekuatan semasa Indonesia mungkin dianggap sedikit lemah jika dibandingkan pasukan utama mereka di pentas Kelayakan Piala Dunia apabila tidak ramai kelibat tonggak warisan membarisi saingan AFF pada kali ini.
Justin Hubner, Ivar Jenner, Jay Idzes, dan beberapa nama lagi dilihat tiada dalam skuad AFF Sang Garuda kali ini untuk menjadi pertaruhan penting Shin Tae-yong untuk saingan tersebut dan beliau menampilkan ramai bakat-bakat muda tempatan untuk menghadapi kejohanan Asia Tenggara itu.
Namun skuad ini tidak boleh dipandang ringan walaupun dibarisi oleh pemain muda, kerana rata-rata daripada mereka sudah memiliki pengalaman bekerjasama dengan Shin terdahulu di pentas antarabangsa.
Malah, lima daripada pemain tersebut juga beraksi di saingan luar negara dan turut dipanggil untuk memperkukuhkan persiapan Indonesia di pentas kejohanan tersebut selain Shin turut mempertaruhkan seorang pemain warisan iaitu Rafael Struick.
Tanpa kelibat Justin Hubner, Calvin Verdonk, dan Jay Idzes, pasukan itu mempertaruhkan dua pemain berpengalaman iaitu Pratama Arhan (Suwon FC) dan Asnawi Mangkualam (Port FC) untuk membimbing pertahanan muda lain.
Bintang muda lain di posisi itu menyaksikan Achmad Maulana, Muhammad Ferarri, Dony Tri Pamungkas, Kakang Rudianto, Kadek Arel, Mikael Tata, serta Sulthan Zaky.
Di posisi tengah, Shin memberi kepercayaan penuh kepada bintang muda yang beraksi di England iaitu Marselino Ferdinan sambil dibantu oleh Robi Darwis, M Rayhan Hannan, Arkhan Fikri, Rivaldo Pakpahan, dan Zanadin Fariz.
Kualiti Ferdinan yang kreatif merangkai serangan dari bahagian tengah dijangka akan menjadi pilihan utama jurulatih dari Korea Selatan itu untuk mengharungi kejohanan berkenaan.
Posisi hadapan kelab jelas lebih menarik apabila skuad tersebut memiliki barisan pemain berkualiti seperti Rafael Struick, serta Ronaldo Kwateh yang diakui sudah pun mempamerkan taring mereka di pentas antarabangsa bersama kualiti cukup menyakinkan.
Selebihnya, Indonesia menyenaraikan Hokky Caraka, Afriyanto Nico, Victor Dethan, serta Arkhan Kaka untuk menjadi pilihan Shin sepanjang mengharungi kejohanan tersebut.