Nama bekas jurulatih utama Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Nafuzi Zain antara kini dikaitkan bakal memegang jawatan selaku pengendali utama buat skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Terdahulu, Pau Marti Vicente yang kini merupakan jurulatih utama Malaysia menyatakan saingan Piala Mitsubishi Electrin ASEAN 2024 merupakan tugasan terakhir beliau.
Hal itu dinyatakan sendiri Pau Marti menerusi media rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam dan secara tidak langsung desas desus spekulasi baharu mula bermain dalam kalangan peminat.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Keputusan ini dibuat susulan komunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.
“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN.
“Adalah satu yang menyeronokkan untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama, kerana kami telah mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia yang dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Walaupun ia tidak akan mungkin, Pasukan Kebangsaan kita akan terus bermain untuk mempertahankan maruah Malaysia.
“Saya mahu pemain, terutamanya prospek muda menikmati kejohanan ini dan suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong kami.
“Mendapat sokongan mereka akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami. Saya memberi jaminan bahawa penyokong akan menikmati aksi pasukan dalam kejohanan terakhir kami ini.
“Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” ujar Pau Marti menerusi perkongsian dibuat oleh FAM semalam.
Melihat kepada kekosongan akan datang, beberapa nama jurulatih kini mula dikaitkan bersama skuad Malaysia untuk menggantikan khidmat Pau Marti.
Nafuzi Zain antara yang disebut peminat, selepas beliau sah menamatkan kontrak bersama Kedah dan dijangka akan menyertai kem kebangsaan.
Namun, menerusi beberapa laporan kami terima Nafuzi berkemungkinan besar akan menyertai kem B-23 Harimau Malaya sama ada secara jurulatih utama atau sebagai pembantu.
Selain itu, nama Benjamin Mora juga turut dikatakan bakal menyertai kejurulatihan kebangsaan, setelah beliau sah meninggalkan York United di Kanada pada bulan lalu.
Pengalaman dan kejayaan beliau bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selama beberapa musim terdahulu dianggap sebagai calon paling tepat selaku jurulatih baharu Malaysia.
Ada juga beberapa nama lain lagi turut dikaitkan bersama kem kebangsaan, dengan seorang lagi bekas jurulatih JDT iaitu Esteban Solari dikatakan akan menyertai revolusi baharu Harimau Malaya.
Pandangan anda?