Peluang terbaik Selangor untuk cuba melayakkan diri mereka pusingan lebih jauh pada aksi AFC Champions League Two (ACL 2) disia-siakan, apabila mereka mencatat kekalahan kepada Muangthong United menerusi keputusan 1-2.
Beraksi di halaman sendiri, Selangor memulakan segalanya dengan cukup baik untuk mendapatkan jaringan sulung menerusi ledakan Quentin Cheng setelah tekanan-tekanan tinggi dilakukan.
Walaupun begitu momentum tersebut gagal dipertahankan The Red Giants, apabila mereka seolah tampil serba longlai di segenap posisi ketika lawan sebenarnya masih terkial-kial menyesuaikan diri.
Selangor gagal matikan ancaman lawan lebih awal
Ketika wakil kelab dari Thailand itu masih mencari rentak permainan terbaik mereka pada awal separuh masa selepas ketinggalan, Selangor dilihat lebih banyak menguasai permainan.
Malangnya, mereka gagal mematikan terus cabaran lawan dengan lebih awal apabila beberapa gerakan dicipta gagal membuahkan hasil kepada bentuk gol.
Malah, para pemain Selangor sendiri dilihat beraksi tanpa memberi tekanan bersungguh-sungguh seperti apa dilakukan pada awal permainan sehingga intensiti permainan juga tidak begitu dirasai.
Kesilapan mudah hantui Selangor
Lebih mengecewakan, kesilapan-kesilapan mudah sering dilakukan oleh para pemain Selangor sendiri daripada hantaran sesama rakan sepasukan, serta ada pemain berada di posisi tidak bersesuaian untuk membantu pasukan.
Beberapa peluang hantaran sebenarnya mampu dilakukan dengan sangat sempurna, sebelum ianya gagal akibat salah faham sesama mereka di atas padang walaupun lawan tidak begitu memberi ancaman berbahaya.
Kesilapan dilakukan itu juga menjadikan Selangor akhirnya terlentang di halaman sendiri apabila lawan berjaya memanfaatkan kelemahan pertahanan wakil Malaysia itu untuk diubah kepada bentuk jaringan.
Dua jaringan daripada situasi sepakan sudut menyaksikan disiplin pertahanan The Red Giants sangat lemah dan mudah dieksploitasi oleh pelawat walaupun mereka tidaklah dianggap begitu berbahaya.
Kebangkitan cuba dicipta tuan rumah pada berbaki akhir-akhir perlawanan dengan beberapa perubahan dicipta oleh Katsuhito Kinoshi demi sekurangnya mendapatkan gol penyamaan.
Kemasukan pemain seperti Abualnadi dan Faisal Halim dilihat sedikit sebanyak berjaya menaikkan kembali intensiti serangan Selangor sebelum ianya dianggap begitu terlewat untuk segalanya.
Apa yang perlu dilakukan kini untuk perlawanan hadapan sudah tentu mereka perlu memperbaiki segala kelemahan tersendiri terutama daripada kesilapan-kesilapan mudah yang membuka peluang kepada pasukan lawan seperti aksi lalu.