Nama penyerang utama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Jorge Obregon antara menjadi pertikaian segelintir peminat di media sosial, selepas pasukan itu mencatat kekalahan 0-1 di tangan Shandong Taishan.
Terdahulu, JDT merekodkan kekalahan kali kedua mereka di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) dengan kali ini mereka ditewaskan oleh Shandong Taishan dari China menerusi keputusan 0-1.
Pada aksi tersebut, JDT sebenarnya tampil lebih mendominasi perlawanan menerusi banyak gerakan-gerakan menarik untuk mendapatkan gol awal permainan.
Namun, beberapa kesilapan mudah menjadikan JDT sukar untuk menemui sentuhan akhir, selain penjaga gol lawan iaitu Wang Dalei tampil begitu cemerlang sepanjang saingan berlangsung.
Selepas kekalahan, nama Obregon antara yang kerap dipertikaikan segelintir peminat di media sosial dek kerana ketumpulan beliau di hadapan gawan gol.
Obregon yang ditandatangani JDT pada saingan musim ini dianggap sebagai salah seorang pemain yang masih gagal untuk menyesuaikan diri bersama corak permainan kelab tersebut.
Walaupun hadir dengan rekod menyakinkan di Eropah, bekas penyerang kebangsaan Colombia ini sukar untuk membuktikan ketajamannya di hadapan gawang gol buat JDT.
Malah, ada peminat turut membandingkan keberkesanan beliau bersama penyerang dari Brazil iaitu Bergson da Silva yang tampil jauh lebih berkeyakinan selaku peledak utama.
Sepanjang aksi berlangsung, JDT memulakan segalanya dengan sangat baik sebelum Obregon tampil sukar untuk melepaskan diri daripada pertahanan lawan selain kawalan bolanya juga lemah.
Malah, ada beberapa situasi menyaksikan Obregon memiliki peluang untuk mencipta jaringan sebelum ianya disia-siakan begitu sahaja.
Hector Bidoglio nyata menyedari kelemahan tersebut, sebelum beliau membawa masuk Bergson serta Heberty bagi menghidupkan jentera serangan JDT di pentas tertinggi Asia itu.
Malangnya, Shandong tampil bersama aksi bertahan yang cukup berdisiplin selepas mereka mendapatkan satu gol dan segala usaha dilakukan para pemain serangan JDT tidak membuahkan hasil.
Apapun, sudah tentu Bidoglio menyedari kelemahan itu dan segalanya bakal diperbaiki untuk aksi hadapan menentang wakil kelab dari Thailand iaitu Buriram United demi mendapatkan keputusan lebih positif.