Bekas pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Nafuzi Zain secara rasminya tidak lagi bersama kelab tersebut selepas ia diumumkan sendiri menerusi laman tersebut beberapa hari lalu.
Sebelum melepaskan jawatan tersebut, pengendali berpengalaman itu sempat meninggalkan kenangan berharga buat para peminat apabila Kedah meraih kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) dalam saingan Piala Malaysia 2024/2025.
Pemergian Nafuzi jelas memberikan kesan yang mendalam buat para penyokong yang rata-rata menyenangi individu tersebut sepanjang bersama kelab berkenaan.
Tampil Nafuzi sendiri membuat suatu kenyataan cukup memilukan di media sosial beliau sebagai tanda perpisahan bersama Kedah setelah mengharunginya di sana selama beberapa musim.
“Berat untuk membuat keputusan namun saya memilih untuk tidak lagi bersama Kedah Darul Aman FC. Perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC tempoh hari menjadi perlawanan terakhir saya selaku ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC.
“Sudah tentu setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak namun saya percaya akan ada pelangi selepas hujan dan pasukan akan terus melakar kejayaan selepas ini.
“Perjalanan yang sangat indah bersama keluarga KDA FC. Segala suka dan duka ditempuhi bersama demi memberi kejayaan kepada seluruh penyokong hijau kuning. Segala kenangan di sini sememangnya sukar untuk saya lupakan. Kelab ini sangat luar biasa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar kerana memberi peluang melaksanakan tugas memacu kelab yang penuh bersejarah ini.
“Kepada pemain, saya sangat berbangga dengan komitmen latihan di dalam padang sehingga ke perlawanan. Kerjasama yang ditunjukkan di setiap perlawanan sangat membanggakan.
“Tidak putus asa sehingga ke wisel penamat. Berjuanglah sejiwa murni dalam perlawanan akan datang.
“Terima kasih juga kepada semua pegawai yang sentiasa memberi komitmen sangat tinggi
buat pasukan di belakang tabir dan juga di padang latihan. Semua sudah saya anggap seperti keluarga saya sendiri.
“Buat penyokong yang sentiasa menyokong pasukan KDA FC ketika jatuh dan bangun. Tiada ayat dapat diungkapkan mengenai semangat penyokong. Terima kasih kerana sentiasa menyokong.
“Anda adalah antara penyokong yang hebat demi mempertahankan legasi Kedah Darul Aman. Teruskan berada di belakang pasukan.
“Akhir sekali, semoga pasukan Kedah Darul Aman FC menjadi kelab yang berjaya suatu hari nanti. Kedah tetap berada dalam hati saya selama – lamanya. Terima kasih semua! Pulun Kedah Pulun!” ujar Nafuzi.
Kami di Semuanya BOLA mendoakan supaya Nafuzi terus cemerlang selepas ini walau dimana beliau berada dalam karier bola sepak profesional.
Kepada Kedah, supaya pasukan ini kembali bangkit untuk masa hadapan dan legasi itu kekal terpelihara sampai bila-bila dalam Malaysia.