Penyerang import dari Jepun iaitu Takumi Sasaki dianggap sebagai salah seorang bintang tumpuan untuk aksi membabitkan Negeri Sembilan dan PDRM hari ini bagi saingan pertama mereka di kejohanan Piala Malaysia 2024/2025.
Beraksi di halaman sendiri, mungkin ia memberi kelebihan sedikit buat Negeri Sembilan untuk tampil bersama keputusan positif sebagai bekalan selesa sebelum aksi timbal balik.
Namun, PDRM juga sudah tentu enggan melepaskan sebarang peluang untuk cuba meraih sesuatu sebelum Negeri Sembilan bertandang ke laman rasmi mereka pula.
Atas kertas, PDRM dilihat memiliki kelebihan daripada segi kualiti pemain serta corak permainan jika dibandingkan oleh pasukan tuan rumah.
Walaupun begitu, cabaran kali ini berbeza dan sudah tentu skuad Hoben Jang Hoben ingin tampil lebih baik jika dibandingkan prestasi mereka di pentas Liga Super.
Untuk aksi hari ini, Semuanya BOLA menilai tiga pemain tumpuan yang dijangka bakal memainkan peranan penting untuk perlawanan tersebut.
Takumi Sasaki
Penyerang import Negeri Sembilan ini mungkin merupakan satu-satunya pemain paling konsisten serta banyak memainkan peranan penting buat kelab tersebut.
Lincah, pantas, dan kreatif mencipta peluang serangan menjadikan beliau sebagai salah seorang pemain paling berbahaya perlu diawasi oleh pertahanan PDRM.
Saingan musim ini menyaksikan bekas penyerang kebangsaan Jepun itu sudah merekodkan satu gol bersama tiga bantuan jaringan daripada 14 aksi dihadapi.
Ifedayo Olusegun
Pemain kelahiran Nigeria ini nyata masih berbisa di hadapan gawang gol walaupun usia beliau sudah mencecah 33 tahun untuk menjadi pertaruhan utama PDRM.
Lima gol sudah direkodkan Ifedayo pada saingan musim ini daripada 11 perlawanan untuk membuktikan dirinya masih lagi antara penyerang berbisa terbaik di pentas Liga Malaysia (Liga M).
Ketajaman beliau di hadapan gawang gol serta kekuatan fizikalnya untuk mengatasi lawan mungkin menjadi faktor utama mengapa berisan pertahanan Negeri Sembilan perlu lebih berwaspada.
Bruno Suzuki
Segala pergerakan gol PDRM sejak saingan musim lalu boleh dikatakan bermula daripada pemain kacukan Jepun-Brazil ini menerusi kualiti dimiliki beliau.
Kreatif dan rajin di posisi serangan menjadi aset utama Bruno untuk menggerakan setiap peluang terbaik buat PDRM bagi mendapatkan gol.
Tiga gol dan tiga bantuan jaringan sudah direkodkan oleh Bruno pada saingan musim ini daripada 14 perlawanan telah dihadapi.