Tonggak utama Sri Pahang iaitu Kpah Sherman antara yang dianggap bakal mencuri tumpuan pada aksi hari ini membabitkan kelab tersebut menentang Selangor pada saingan Piala Malaysia 2024/2025.
Musim ini, Sri Pahang boleh dianggap sedikit kurang konsisten dalam persaingan Liga Super serta Piala FA sehingga mereka mendapat beberapa kritikan peminat.
Selain isu permainan yang sedikit hambar, pasukan itu turut dirundung masalah kecederaan beberapa pemain utama sehingga menjejaskan persiapan dibuat Fandi Ahmad.
Berbanding Selangor, pasukan itu tampil lebih baik daripada segi perjalanan semasa mereka jika dibandingkan oleh Tok Gajah walaupun kehilangan jurulatih utama beberapa minggu lalu iaitu Nidzam Jamil.
Aksi pada hari ini sudah tentu dijangka bakal berlaku dengan sangat sengit kerana masing-masing ingin melayakkan diri ke pusingan lebih jauh pada kejohanan tersebut.
Berikut merupakan empat pemain tumpuan bagi aksi Sri Pahang dan Selangor yang akan berlangsung hari ini di Stadium Mini, Temerloh yang juga merupakan laman rasmi Tok Gajah.
Kpah Sherman
Penyerang sensasi Sri Pahang ini dijangka terus menjadi sandaran utama Fandi untuk cuba merobek gawang gol Selangor pada hari ini walaupun beliau memiliki seorang lagi pemain import, Mykola Ahapov.
Berkelebihan daripada segi ketajaman di hadapan gawang gol, Sherman juga memiliki keupayaan cukup baik daripada aspek kekuatan fizikal untuk mengatasi pertahanan lawan.
Sergio Aguero
Tampil menyerlah bersama skuad Harimau Malaya sejak dua perlawanan antarabangsa lalu, dijangka Aguero bakal menjadi pilihan utama Fandi selaku perancang di posisi serangan Tok Gajah.
Beraksi selaku pemain tengah serangan, Aguero juga memiliki keupayaan sebagai penyerang kedua kerana keseimbangan daripada segi kreativiti dan ketajaman dimiliki beliau di atas padang.
Ali Olwan
Hadir pada jendela perpindahan musim ini, Olwan tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan impak pantas di posisi serangan utama Selangor menerusi kualiti dimiliki beliau.
Lincah dan tajam di hadapan gawang gol, Olwan juga memiliki kualiti daripada segi larian pantas yang menjadi kekuatan utama beliau untuk mengatasi mana-mana pertahanan lawan.
Harith Haiqal
Bintang muda Selangor ini terus mempamerkan peningkatan cukup ketara untuk terus menjadi pilihan utama kelab tersebut musim ini serta turut dipanggil bersama kem skuad kebangsaan.
Disiplin dimiliki Harith selaku pertahanan tengah menjadikan mana-mana penyerang lawan sukar untuk mengatasi beliau secara individu selain kemampuannya meledak gol daripada situasi bola mati.