Penang terus menepati jangkaan ramai peminat di media sosial, apabila mereka konsisten meraih kekalahan terbaharu walau kini sudah menerima sentuhan jurulatih baharu iaitu Wan Rohaimi.
Terbaharu, pasukan tersebut meraih kekalahan terbaharu di tangan Kuching City bagi saingan awal Piala Malaysia 2024/2025 menerusi keputusan 0-1 walaupun berkelebihan selaku tuan rumah.
Satu jaringan pada separuh masa pertama menerusi pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan Kuching City di Stadium Bandaraya ketika aksi berlaku dalam keadaan hujan.
Kekalahan itu sudah tentu menberi satu lagi tugas sukar buat Wan Rohaimi untuk cuba kembali meraih keputusan positif pada aksi timbal balik seterusnya pula di gelanggang lawan tidak lama lagi.
Untuk rekod, Penang setakat ini sudah pun kemarau tanpa kemenangan sejak lapan perlawanan terakhir dihadapi mereka termasuk pada aksi semalam.
Kali terakhir pasukan itu merasai kemenangan pada 1 Ogos lalu ketika Penang mengetepikan cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) dalam saingan Liga Super.
Selepas itu, mereka hanya merasai keputusan seri serta kekalahan bersama aksi cukup tidak konsisten sehingga pengurusan kelab mengambil keputusan untuk menggantikan jurulatih baharu yang terdahulu diisi oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Lebih menyayat hati jika kita lihat pada statistik empat penampilan terakhir kelab tersebut, Penang terus konsisten mencatat kekalahan serta gagal memperoleh sebarang gol termasuk perlawanan terbaharu menentang Kuching City.
Entah dimana silapnya, pasukan itu memiliki isu pada sentuhan terakhir untuk mendapatkan gol walaupun tampil dengan corak permainan yang lebih baik untuk mencipta peluang ke arah gawang lawan.
Malah, kehadiran Dylan Wenzer-Halls dari Australia juga gagal untuk meninggalkan impak lebih besar pada posisi serangan Penang walaupun penyerang itu memiliki reputasi tinggi di Australia.
Impak semasa daripada penyerang import dari Brazil iaitu Rodrigo Dias juga terus mengecewakan dengan beliau gagal mempamerkan peningkatan lebih baik untuk membantu pasukan.
Selain itu, nama penjaga gol utama Penang iaitu Sikh Izhan juga antara dipertikai segelintir peminat kerana jumlah bolos beliau pada saingan musim ini sedikit membimbangkan.
Apapun, Wan Rohaimi jelas memiliki tugas sangat sukar untuk kembali memperbaiki segala aspek kelemahan Penang serta menamatkan statistik ngeri pasukan itu daripada segi keputusan serta sentuhan di hadapan gawang gol.