Penyerang import berbisa iaitu Jordan Mintah antara tiga pemain Kuching City yang perlu diawasi oleh Penang pada aksi sulung mereka dalam saingan Piala Malaysia 2024/2024 pada hari ini.
Terdahulu, Penang bakal melayan kunjungan Kuching City pada hari ini di Stadium Bandaraya bagi perlawanan pusingan ke-16 Piala Malaysia 2024/2025 sebelum aksi kedua akan bersambung di gelanggang lawan.
Rekod pertemuan kedua pasukan tersebut musim ini di pentas Liga Super menyaksikan mereka masing-masing terikat seri 2-2 ketika aksi berlangsung di Stadium Negeri sarawak.
Dua jaringan Kuching City ketika itu terhasil menerusi Zahrul Nizwan bin Joe Kifli Zulkiflee serta Tchetche Kipre, sementara Penang meraih gol melalui Neto serta penyerang dari Brazil, Rodrigo Dias.
Sudah tentu aksi sulung Piala Malaysia ini menjanjikan sesuatu berbeza kerana masing-masing enggan terikat seri serta memburu kemenangan selesa.
Melihat pada aksi hari ini, Penang selaku tuan rumah perlu berwaspada akan momentum positif lawan yang sangat baik meski pun mereka sudah mendapat jurulatih baharu, Wan Rohaimi.
Berikut merupakan tiga pemain tumpuan Kuching City yang perlu diawasi sepenuhnya oleh Penang jika mereka tidak rela kempunan di halaman sendiri.
Jordan Mintah.
Penyerang dari Ghana ini boleh dikatakan sedang menikmati musim terbaik beliau bersama Kuching City selepas impaknya di posisi serangan jelas sangat memberansangkan.
Musim ini sahaja menyaksikan Mintah sudah pun meledak lima gol serta satu bantuan jaringan daripada 13 perlawanan bersama Kuching City di pentas domestik.
Ketajaman serta kelicikan Mintah tidak boleh dipandang remeh, kerana itu menjadi aset beliau untuk meletakkan diri selaku salah seorang penyerang handalan saingan Liga Malaysia musim ini.
Danial Amier
Nadi utama Kuching City pada saingan musim ini dan aksi Danial Amier antara yang begitu menonjol selaku pemain tempatan di posisi tengah dalam saingan domestik.
Menjadi pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan musim ini, Danial Amier tidak mengambil masa yang lama untuk terus mencuri hati Aidil Sharin Sahak selaku tonggak utama Kuching City.
Ketenangan beliau mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta hantaran menjadikan Danial sebagai tonggak paling penting untuk diawasi oleh barisan pemain Penang.
Petrus Shitembi
Pemain kebangsaan Namibia ini sering dilihat berjaya mengkucar kacirkan pertahanan lawan menerusi kelincahan beliau di atas padang sejak beberapa musim lalu.
Beraksi di posisi tengah serangan, Shitembi sering kali dilihat berjaya mencipta hantaran-hantaran tepat kepada penyerang utama untuk mencerahkan peluang gol.
Malah, beliau sendiri memiliki ketajaman cukup baik untuk meledak gol daripada pelbagai sudut serta licik menghidu setiap peluang terhidang untuk disudahkannya menerusi pengalaman dimiliki.