Jika diimbas pada aksi Malaysia ketika berdepan India lalu, ada sesuatu yang dianggap kurang daripada segi sumbangan buat posisi serangan negara sehingga beberapa peluang gagal diterjemahkan ke adah bentuk gol.
Ya, Malaysia dilihat sedikit tempang tanpa kehadiran bintang muda itu di posisi serangan skuad kebangsaan ketika menghadapi cabaran India.
Bukan untuk menidakkan pemain pengganti seperti Haqimi Azim atau Safawi Rasid pada aksi tersebut, namun bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memiliki suatu sentuhan yang tiada pada tonggak-tonggak lain.
Terdahulu, Arif antara tiga pemain yang dilepaskan oleh skuad Harimau Malaya bawah kendalian Pau Marti Vicente selepas mereka menerima permohonan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk persediaan awal menghadapj kejohanan Piala Malaysia.
Tanpa Arif, posisi serangan Malaysia semalam dilihat kurang menjadi walaupun Haqimi dan Safawi Rasid dilihat menjalankan tugas dengan cukup baik sepanjang saingan berlangsung.
Perkara sama turut diluahkan oleh pemerhati bola sepak negara iaitu Azlan Johar yang menyifatkan kudrat Arif sebenarnya sangat diperlukan oleh kem Harimau Malaya.
Kata Azlan, kelibat Arif sememangnya memberi semangat buat rakan sepasukan lain di atas padang dan tanpa pemain lincah itu, Malaysia dilihat kehilangan 25 peratus kekuatan mereka dan dibuktikan pada aksi menentang India lalu.
“Kalau saya sebagai seorang jurulatih, saya memang perlukan pemain macam Arif Aiman Hanapi,”
“Dia seorang pemain yang bagus dan kehadirannya akan menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukan apabila melihat aksi positif ditunjukkan. Apabila itu berlaku, maka persefahaman dan kesungguhan akan lebih bertambah baik.
“Kita anggap Arif Aiman ini sebagai salah seorang anggota penting di mana anggota lain akan memberi sokongan kepadanya. Kalau Arif Aiman tiada, kita ibarat beraksi dengan 75 peratus kekuatan sahaja.
“Pemain naturalisasi pun suka kalau Arif Aiman ada dan memang nyata, ketika ini dia pemain yang paling berkaliber dalam skuad kebangsaan,” kata beliau menerusi perkongsian dibuat oleh Berita Harian.
Pada masa sama, Azlan turut memberi pujian kepada Arif yang dianggap sentiasa memberikan aksi cukup berkualiti setiap kali mewakili pasukan kebangsaan.
“Tidak kiralah perlawanan itu diiktiraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ataupun tidak, apa yang penting adalah pemain menunjukkan kesungguhan setiap kali menyarung jersi negara.
“Saya dapat lihat Arif Aiman adalah pemain sebegitu dan walau apa jua jersi yang dipakai olehnya, kesungguhan itu tetap ada,” katanya akhir sekali.