Bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi terus menampilkan sensasi tersendiri apabila nilai pasaran semasa beliau melonjak kini walaupun baru sahaja berusia 22 tahun dan dianggap masih muda.
Menerusi perkongsian laman Transfermarkt, nilai pasaran semasa Arif sudah pun mencecah 600,000 euro atau bersamaan RM2.82 juta berbanding 550,000 (RM2.59 juta) pada Disember tahun lalu.
Nilai itu kini meletakkan Arif selaku pemain kedua termahal di Malaysia selepas bintang pertahanan kebangsaan, Dion Cools yang bernilai 800,000 euro.
Untuk rekod, musim ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang cukup hebat untuk dilalui Arif Aiman terutama sekali bersama kelab diwakilinya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kehebatan Arif tidak hanya tertakluk kepada saingan domestik sahaja, malah beliau juga semakin berani untuk mencabar pentas kejuaraan tertinggi Asia iaitu AFC Champions League Elite (ACLE).
Selain gah menjadi antara pemain paling menonjol buat JDT, Arif juga kini telah merekodkan empat jaringan bersama satu bantuan gol daripada empat penampilan di saingan tersebut.
Jumlah gol itu kini meletakkan Arif di kedudukan keempat sebagai penjaring terbanyak ACLE dan berkongsi tempat bersama Aleksandar Mitrovic dan Soufiane Rahimi selain Salem Al-Dawsari.
Malah, jumlah gol itu juga menyaksikan Arif kini telah memintas banyak nama besar lain seperti Riyad Mahrez, Roberto Firmino, serta tonggak kebangsaan Portugal iaitu Cristiano Ronaldo.
Lebih membanggakan bola sepak negara, tonggak Harimau Malaya itu satu-satunya pemain berusia 23 tahun ke bawah yang berada di carta 10 penjaring terbanyak ACLE ketika ini.
Ianya secara tidak langsung membuktikan JDT menjadi antara negara di Asia Tenggara yang berjaya melahirkan bintang muda bola sepak berkelas tinggi untuk mencabar saingan antarabangsa.
Selain gah di saingan ACLE, Arif juga kini telah merekodkan tujuh gol bersama tujuh bantuan jaringan untuk saingan domestik termasuk Piala FA musim 2024/2025.
Secara keseluruhan, prestasi Arif boleh dianggap cukup hebat untuk meletakkan dirinya selaku pemain kedua termahal Malaysia musim ini apabila beliau merekodkan 11 gol bersama lapan bantuan jaringan daripada 21 penampilan.
Maka tidak menghairankan apabila kini beliau mula dikaitkan bersama beberapa kelab di luar negara yang mula memberi tumpuan kepada pemain muda tersebut.