Malaysia secara rasminya kehilangan tiga pemain mereka untuk aksi seterusnya membabitkan skuad kebangsaan menentang India bagi siri persahabatan kedua pada bulan ini.
Menerusi perkongsian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ketiga pemain tersebut ialah Arif Aiman, Feroz Baharudin, serta Matthew Davies dipanggil pulang Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah permohonan dibuat pasukan itu.
Keputusan itu terpaksa dibuat JDT kerana jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.
Ketiadaan tiga pemain tersebut menyaksikan Pau Marti Vicente sudah tentu akan mencipta rombakan baharu untuk memastikan momentum positif Harimau Malaya kekal pada aksi seterusnya.
Walaupun tanpa kelibat tiga pemain tersebut, sebenarnya ia bukan suatu masalah buat Malaysia kerana mereka masih memiliki barisan pemain lain dianggap berkaliber untuk mengisi kekosongan itu.
Berikut merupakan tiga tonggak Malaysia lain dianggap mampu untuk menjadi pengganti terbaik kepada ketiadaan tiga pemain itu bagi aksi berdepan India.
Haqimi Azim layak isi posisi Arif Aiman
Haqimi Azim dilihat memiliki kemampuan cukup baik untuk menjadi pengganti kepada kekosongan ditinggalkan oleh Arif Aiman selaku pemain sayap serangan Malaysia.
Malah, Haqimi sendiri sudah pun membuktikan dirinya layak berada di posisi tersebut menerusi beberapa aksi lalu selaku pemain gantian bawah kendalian Kim Pan-gon serta Pau Marti sendiri.
Kelebihan Haqimi daripada segi kelincahan, kekuatan fizikal, serta tajam di hadapan gol menjadikan beliau selaku pilihan tepat untuk dibawa turun pada aksi menentang India.
Dion Cools ganti posisi Matthew Davies
Seperti diketahui, Cools sebelum ini lebih dominan selaku pertahanan kanan selain memiliki keupayaan tinggi sebagai pertahanan tengah bersama skuad kebangsaan.
Malah beliau sendiri tampil beraksi di posisi kanan bersama Buriram United untuk menjadikan Cools selaku calon utama selaku pengganti kepada Matthew Davies.
Aspek hantaran lintan tepat, kerajinan beliau untuk mengimbangi serangan serta pertahanan dan kekuatan fizikal menjadi asbab utama Coold dianggap calon tepat selaku pengganti Matt Davies.
Dominic Tan pengganti buat Feroz Baharudin
Di posisi pertahanan tengah sebenarnya tidak begitu menggusarkan kem kebangsaan, kerana Malaysia memiliki beberapa lagi pemain bersesuaian di kesebelasan utama selaku pengganti Feroz.
Dominic Tan dianggap sebagai calon tepat bersama Harimau Malaya dalam kesebelasan utama pada aksi seterusnya jika Cools ditolak ke posisi kanan.
Pengalaman dan konsistensi beliau bersama Harimau Malaya juga sudah dibuktikan untuk meletakkan beliau selaku pilihan utama berdepan India.