Pau Marti Vicente dilihat bakal menghadapi cabaran hebat sebelum aksi membabitkan Malaysia menentang India, setelah beliau kehilangan tiga pemain penting bagi menghadapi perlawanan tersebut.
Apa tidaknya, kem Harimau Malaya terpaksa melepaskan tiga pemain Malaysia iaitu Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin, serta Matthew Davies selepas permohanan telah dibuat kelab diwakili mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini bermakna, Pau Marti kini hanya memiliki 23 pemain sahaja ke India berbanding 26 wakil yang sebelum ini bersama beliau ketika menghadapi cabaran Laos.
Menurut perkongsian daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), keputusan itu terpaksa dibuat JDT kerana jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.
“Daripada 26 pemain yang bersama skuad Harimau Malaya ke Bangkok, Thailand bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pertama menentang Laos pada Khamis, 14 November 2024, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin, 18 November 2024.
“Ini kerana tiga pemain iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi telah pun dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Ia susulan jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu.
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai skuad 23 pemain Harimau Malaya untuk terbang ke Hyderabad dari Bangkok, malam ini,” jelas kenyataan tersebut.
Ini bermakna, Pau Marti terpaksa melakukan rombakan dalam kesebelasan utama untuk menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Mathew Davies serta Arif Aiman.
Buat kekosongan ditinggalkan oleh Feroz pula, ia dilihat tidak begitu menggusarkan kerana Harimau Malaya masih memiliki beberapa pemain bersesuaian selaku pengganti.
Untuk kekosongan ditinggalkan Arif, dijangka Safawi Rasid mungkin akan mengambil alih posisi itu di bahagian sayap kanan selain Azam Azmi Murad menjadi calon sesuai selaku pengganti Matthew Davies.
Apapun, ianya terserah kepada Pau Marti sendiri untuk mengatur kesebelasan utama terbaik demi memperoleh keputusan positif pada aksj berdepan India.