Kedah Darul Aman (Kedah) berkemungkinan bakal mencipta rombakan lebih besar untuk saingan hadapan, selepas mereka melaluinya dengan sangat menyedihkan pada musim ini di pentas Liga Malaysia (Liga M).
Umum mengetahui Kedah menjadi antara pasukan yang tampil begitu teruk daripada segi persiapan semasa sejak awal musim selepas kelab itu bergolak dengan isu kewangan semasa.
Tiada penaja utama, tunggakan gaji, serta pengenalan jersi musim 2024/2025 yang begitu lambat antara permasalahan yang dihadapi kelab tersebut sejak saingan berlangsung.
Malah, pasukan tersebut juga kehilangan khidmat pemain tengah berpengaruh iaitu Habib Haroon ketika saingan sedang berlangsung dan ia dianggap menjejaskan persiapan semasa Nafuzi Zain.
Tidak cukup itu, pemain senior Kedah juga dilihat tampil boikot pada salah satu perlawanan Liga Super ketika mereka menghadapi Kuala Lumpur City (KL City) sehingga Sang Kenari merekodkan kekalahan cukup besar.
Untuk terbaharu, Sony Norde juga dikatakan bakal berhijrah bersama kelab baharu pada Disember hadapan dengan Kedah terus kehilangan tonggak utama mereka.
Rentetan episod malang itu menyaksikan segelintir penyokong mula bertanya jika Kedah masih wujud atau bakal berkubur pada saingan hadapan.
Namun, pada pengamatan kami pula merasakan Kedah mungkin akan dibentuk kembali menerusi rombakan secara besar-besaran dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi semasa.
Gerak kerja sebenarnya sudah pun berlaku dalam pengurusan kelab tersebut, setelah ia diperjelaskan secara sendiri melalui Tan Sr Dr. Daud bin Bakar yang juga merupakan penaung Kedah.
Antara rombakan terbaharu dalam pengurusan kelab berkenaan, mereka telah pun melantik Ketua Pegawai Kewangan (CFO) bersama Pegawai Media baharu pasukan.
Malah, Dr Daud juga menyatakan mereka akan memperkenalkan dua orang Ahli Lembaga Pengarah baharu untuk terus membuktikan pasukan tersebut bakal menghadapi perubahan berskala besar pada saingan hadapan.
Kembali ke belakang, Dr Daud juga tidak menjual 100% pemilikan saham kepada salah satu syarikat tempatan dengan ia membuktikan beliau bakal terus bergerak bersama Kedah.
Pastinya Dr Daud mempunyai kaedah serta penyelesaian untuk kemelut melanda selain tajaan mega dijangka bakal menjadi milik Sang Kenari.
Apapun, Dr Daud perlu terus menyalin segala kelemahan pasukan sejak saingan lalu dan kini supaya perubahan lebih positif dapat dilaksanakan pada musim hadapan.
Jika segalanya dapat dilakukan dengan lancar, maka tidak mustahil untuk maruah Sang Kenari terus dijulang kembali dalam dunia bola sepak Malaysia pada masa hadapan.
Walaupun begitu, untuk ketika ini penyokong perlu terus bersama pasukan untuk memberi sokongan menerusi pembelian tiket serta memeriahkan lagi Stadium Darul Aman (SDA) bagi aksi akan datang.