Bintang baharu bola sepak Malaysia Fazrul Amir antara nama yang menjadi tumpuan kini dalam kalangan peminat selepas ini merupakan penyertaan sulung beliau bersama kem Harimau Malaya.
Fazrul dipanggil bersama tonggak utama Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Zhafri Yahya selepas Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan dialami.
Menjadi satu-satunya pemain Kelantan Darul Naim (KDN) yang terpilih bersama kem kebangsaan, sudah tentu ia menjadi suatu kebanggaan buat bintang berusia 24 tahun ini di pentas antarabangsa jika diberi peluang.
Fazrul juga mengakui kini beliau tampil begitu bersemangat dan sedia menjalankan tanggungjawab sepenuhnya jika diberi peluang oleh Pau Marti Vicente untuk dua aksi persababatan akan datang.
Malah, beliau juga teruja selepas berpeluang akhirnya untuk berada bersama Arif Aiman Hanapi di kem kebangsaan yang juga merupakan idola beliau dalam dunia bola sepak profesional.
Di luar negara, pemain sayap lincah itu menjadikan bekas bintang Manchester United iaitu Cristiano Ronaldo selaku idola dek kerana kualiti dimiliki tonggak Portugal itu.
“Saya bermain di bahagian sayap (kiri), idola saya kalau di luar negara Cristiano Ronaldo, (kalau dekat) Malaysia, Arif Aiman antara idola saya. Dia (Arif) main sebelah kanan.
“Akhirnya dapat juga saya mewakili skuad kebangsaan, perasaan memang gembira. Saya akan buat yang terbaik sekiranya jurulatih bagi peluang bermain.
“Semestinya kalau boleh saya memang nak kekal lama dalam skuad kebangsaan. Namun, saya perlu bekerja keras dan bersaing dalam mendapatkan tempat,” kata Fazrul menerusi perkongsian dibuat oleh Berita Harian.
Beraksi di posisi sayap kiri, dijangka Fazrul bakal memberi persaingan sengit bersama Akhyar Rashid yang turut beraksi di bahagian tersebut selain pemain Penang iaitu Adib Ra’op.
Posisi sayap kiri kini boleh dianggap sedikit tempang selepas Malaysia kehilangan khidmat Faisal Halim yang masih lagi belum dilihat bersedia untuk beraksi di pentas antarabangsa kerana menjalani tempoh pemulihan.
Menerusi dua aksi akan datang, dijangka Fazrul mungkin diberi peluang oleh Pau Marti untuk beraksi sekali gus memberi pengalaman baharu buat bintang Kelantan tersebut.
Musim ini menyaksikan Fazrul sudah merekodkan satu gol bersama satu bantuan jaringan bersama KDN di pentas Liga Malaysia (Liga M) bersama aksi menyakinkan.