Pengendali sementara Selangor iaitu Abdi Hassan melihat skuad kendaliannya bakal menghadapi cabaran besar untuk aksi membabitkan pasukan itu menentang Jeonbuk Hyundai bagi saingan AFC Champions League Two (ACL 2) hari ini.
Beraksi di gelanggang lawan, sudah tentu Abdi perlu mempersiapkan segalanya dengan lebih baik buat barisan pemain terutama sekali membabitkan aspek taktikal serta pemilihan terbaik kesebelasan utama.
Terdahulu, wakil kelab dari Malaysia ini cemerlang menewaskan Jeonbuk Hyundai menerusi keputusan penuh 2-1 ketika aksi berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dua jaringan Selangor ketika itu diledak oleh Harith Haiqal bersama penyerang import kebangsaan Jordan, Ali Olwan di babak separuh masa pertama.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus kebal tanpa kekalahan di saingan ACL 2 musim ini selepas meraih dua kemenangan serta satu sahaja keputusan seri ketika menghadapi Muangthong United dari Thailand.
Walaupun begitu, cabaran kali ini jelas tampil berbeza kerana The Red Giants bakal berkunjung ke gelanggang lawan dan sudah tentu Jeonbuk Hyundai bakal mencipta rombakan untuk menghadapi Selangor.
Mengulas pada aksi hari ini, Abdi Hassan mengakui beliau ingin meneruskan momentum kemenangan lalu untuk terus mengukuhkan posisi mereka di peringkat Kumpulan H.
“Kita mengharungi minggu yang sukar dan berjaya mendapatkan kemenangan pada aksi terakhir liga. Sudah tentu Jeonbuk memiliki dua skuad yang mantap, jadi kita tidak boleh katakan mereka mungkin bermain dengan pemain ini ataupun pemain itu.
“Malah, barisan pemain yang diturunkan pada aksi pertama di tempat kami juga adalah satu skuad yang amat baik. Jadi kami bersedia untuk berdepan kedua-dua barisan yang bakal diturunkan Jeonbuk berdasarkan senario berbeza yang bakal kami hadapi.
“Kami tahu ini satu cabaran yang besar untuk beraksi di tempat lawan. Kami tahu kekuatan kami dan kekuatan lawan, jadi kami akan bermain dengan corak permainan yang sesuai untuk kami dan mendapatkan jaringan,” kata beliau menerusi Berita Harian.
Pada masa sama, tonggak tengah Selangor iaitu Nikola Jambor turut mengakui pertukaran jurulatih tidak memberi kesan buat perancangan semasa pasukan untuk aksi ini.
“Apapun yang terjadi dengan pasukan, pemain perlu kekal profesional untuk menjalankan tanggungjawab. Apa yang berlaku sebelum ini (pertukaran jurulatih) bukanlah kerja kita jadi kita fokus kepada perlawanan.
“Kita berjaya mendapat tiga mata pada aksi terakhir berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan pemain kini bersedia sepenuhnya untuk perlawanan malam esok,” katanya akhir sekali.