Pemain warisan negara, Natxo Insa membuktikan dirinya masih berada pada kelas tersendiri dalam dunia bola sepak profesional walaupun kini usianya sudah pun mencecah 38 tahun.
Terdahulu, nama pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu antara menerima kritikan dalam kalangan peminat sejak musim lalu selepas ada menganggap Natxo sudah tidak begitu relevan bersama kelab itu.
Malahan, Natxo juga menjadi bahan ketawa dalam segelintir peminat bola sepak tempatan ekoran sumbangan beliau buat Harimau Malaya ketika saingan Piala Asia 2023 lalu di Qatar.
Walaupun begitu, siapa sangka Hector Bidoglio masih mempercayai kudrat serta pengalaman dimiliki pemain itu walaupun JDT sebenarnya mempunyai ramai pemain tengah lain.
Di sebalik lambakan pemain tengah Harimau Selatan, Natxo membuktikan dirinya masih layak selaku pilihan utama sepanjang pasukan tersebut menghadapi kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) musim 2024/2025.
Berperanan selaku kapten serta beraksi di posisi tengah bertahan, kualiti dipamerkan oleh pemain itu jelas begitu menyerlah walau menghadapi ramai pemain serangan berkualiti tinggi.
Daripada segi kepantasan mungkin Natxo kini sudah terbatas untuk membuat larian ke serata arah, tetapi beliau menggunakan pengalaman dimiliki untuk memastikan pergerakan lawan terbatas.
Ketenangan mengawal bola, ketepatan hantaran, serta bacaan pergerakan lawan yang baik memastikan Natxo terus menjadi pilihan utama Bidoglio ketika ini selaku pemain tengah bertahan JDT di pentas tertinggi Asia.
Aksi semalam ketika bertemu Ulsan HD juga boleh dianggap sebagai salah satu persembahan terbaik dipamerkan oleh Natxo dengan pergerakan lawan begitu terbatas untuk mencipta peluang gol.
Selain menggunakan kekuatan fizikal, Natxo juga dilihat tidak memiliki masalah untuk menyekat pergerakan lawan serta menggunakan pengalaman dimiliki mengawal tempo permainan.
Kualiti Natxo juga memastikan pemilik kelab, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sendiri berpuas hati akan persembahan diberikan oleh pemain tersebut.
38yrs old. When you have a Ferrari, you need to have a Schumacher. 💙♥️🥇 pic.twitter.com/loB5SlQazb
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) November 5, 2024
“38 tahun. Bila anda memiliki sebuah Ferrari, anda juga sudah tentu memerlukan Schumacher,” ulas baginda di media sosial X mengenai prestasi semasa Natxo.
Melihat kepada prestasi semasa pemain itu, sudah tentu ianya memberi inspirasi buat pemain-pemain lain untuk mencontohi disiplin Natxo supaya terus kekal relevan walau usia sudah menjangkau 38 tahun.