Kebelakangan ini, masalah gaji sering menghantui dalam kalangan pemain bola sepak profesional di Malaysia dan ia dianggap semakin teruk saban hari apabila ia turut melibatkan tunggakan sehingga berbulan lamanya.
Kedah Darul Aman (Kedah), Kuala Lumpur City (KL City), dan beberapa kelab lagi antara terpalit akan isu kewangan sehingga memberi kesan besar kepada pemain.
Bukan sahaja membabitkan wakil tempatan, malahan pemain import turut terkena tempias apabila mereka juga mengalami nasib sama daripada segi tunggakan.
Jauh daripada keluarga atau saudara mara lain di bumi Malaysia, pernahkah kita terfikir nasib pemain import ini akhirnya bakal berakhir dengan episod lebih menderita?
Ini cerita mengenai nasib seorang pemain import Indonesia pada tahun 2012 lalu yang menghembuskan nafas terakhir bersama derita tanpa gaji serta keluarga terdekat, Diego Mendieta.
Mendiang Mendieta sebelum ini merupakan pemain buat Persis Solo serta menjadi antara mangsa tunggakan gaji yang begitu teruk selepas pasukan itu disahkan mengalami masalah kewangan pada tahun 2012.
Mantan Pemain Persis Solo, Diego Mendieta, meninggal dunia setelah menderita Sitomegalovirus. Sebuah virus yang tergolong dalam keluarga herpes dan dapat menular lewat batuk atau bersin. pic.twitter.com/h3hX0tCSZv
— PanditFootball.com (@panditfootball) December 4, 2023
Bersama baki simpanan yang ada, Mendieta terpaksa meneruskan hidup sambil terus menagih tunggakan gaji beliau yang sudah pun mencecah beberapa bulan selain mendapat ihsan daripada rakan sekeliling.
Malah, Mendieta juga terpaksa menangguhkan pembayaran kediaman beliau sehingga enam bulan lamanya kerana tidak mempunyai sumber cukup untuk menyelesaikannya.
Di kediaman yang kecil, Mendieta dikatakan sering termenung mengenangkan nasib keluarganya yang jauh berada di Paraguay dan ingin pulang ke sana secepat mungkin.
Namun, disebabkan sumber kewangan tidak mencukupi, hasrat Mendieta untuk pulang bertemu isteri serta anak beliau tetap tidak kesampaian.
Kesihatan Mendieta memburuk
Nasib malang terus menyapa beliau, selepas Mendieta disahkan mengalami masalah kesihatan apabila dirinya mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pencernaan makanan.
Menurut Kompas.com, sejak November 2012 lagi Mendieta telah menjalani rawatan di hospital sekitar Solo, namun ia dilakukan secara berkala sahaja kerana Mendieta tidak mampu membayar kos perubatan.
Kelab diwakilinya juga dilihat tidak memberi sebarang sumbangan atau menanggung kos rawatan beliau, dengan Mendieta melakukannya secara bersendirian di Indonesia.
Tanggal 4 Disember tahun 2012, dunia bola sepak Indonesia berduka apabila Mendieta telah pun menghembuskan nafas terakhir beliau dengan dirinya dilaporkan sah meninggal kerana jangkitan virus Cytomegalovirus.
Kematian Mendieta memberi tamparan cukup besar buat Persis Solo serta beberapa lagi kelab tempatan Indonesia yang ketika itu turut mengalami masalah daripada segi sumber kewangan.
Melihat kepada sejarah di negara jiran, membuatkan penulis sendiri terus berdoa supaya situasi berkenaan tidak akan berlaku buat mana-mana pemain di Malaysia.
Sewajarnya setiap kelab membaca serta mengambil iktibar akan apa yang berlaku kepada Mendieta supaya kebajikan pemain terus dijaga serta pembayaran tunggakan gaji dapat terlaksana.
Atau, mungkin giliran Indonesia pula akan membaca kisah serupa yang berlaku dalam suasana bola sepak Malaysia, akibat masalah gaji menjadi punca utama.