Kelantan Darul Naim (KDN) tampil dengan rekod buruk terbaharu dalam membabitkan hak kebajikan buat pemain serta kejurulatihan mereka apabila kelab itu didakwa menganiaya daripada bentuk gaji serta visa buat import.
Menerusi pendedahan Leo Jeong yang juga merupakan ejen pemain dari Korea Selatan di Instagram, beliau mendakwa pemain serta jurulatih berada bawah agensi beliau sudah pun tinggal di Malaysia secara haram sejak enam bulan lalu.
Malah, beliau juga mendakwa gaji pemain bawah agensi beliau sudah pun tertunggak sejak beberapa bulan lalu dan mereka tidak dapat menaiki penerbangan atas isu visa.
“Jurulatih dan pemain bawah saya sudah pun tinggal di sini (Malaysia) sejak enam bulan dengan cara tidak sah. Mereka tidak boleh pergi ke mana-mana dengan menaiki penerbangan. Adakah ini masuk akal?
“Hari ini, jurulatih dan pemain dari Korea bersama pemain Myanmar tidak dapat mengikuti pasukan menaiki penerbangan kerana mereka dianggap bukan warga yang sah.
“Pasukan tidak memberi visa sejak enam bulan lalu dan tidak dapat pergi ke mana-mana. Mereka juga tidak mengambil kisah tentang tunggakan gaji enam bulan lalu selain rumah dan kereta pemain tidak dibayar.
“Pasukan tersebut juga menggunakan wang saya serta tidak memberinya kembali. Adakah ini masuk akal?
“Pasukan tidak membayar rumah pemain dan pemain sendiri terpaksa membayar sendiri. Ada juga pemain yang telah dihalau daripada kediaman.
“Pemain Korea telah menjadi mangsa diskriminasi perkauman dan kelab tersebut telah memperolok-olokkan pemain Korea. Persatuan Bola Sepak Malaysia diminta agar siasatan dijalankan,” ujar beliau.
Pada masa sama, Presiden KDN iaitu YB Rozi Muhamad juga dikatakan mengambil langkah berdiam diri untuk menjawab segala persoalan diajukan oleh Leo Jeong.
“Jika semuanya tidak dapat diselesaikan pada minggu hadapan, saya akan memfailkannya kepada FIFA. Ini amaran saya.
“Kelab bola sepak di Malaysia sangat teruk. Pasukan dianggap sebagai sesuatu yang baik sebelum kontrak ditandatangani, tetapi selepas itu segalanya berubah buruk.
“Saya telah bekerja selaku ejen pemain selama 15 tahun, dan saya hanya memiliki masalah bersama kelab liga bola sepak Malaysia.
“Ini adalah liga yang sangat teruk, jangan pergi ke saingan Liga Malaysia.
“Para pemain berdiam diri demi keluarga dan kelangsungan hidup mereka. Terdapat banyak masalah dengan pasukan Liga Super Malaysia, tetapi para pemain menahan kemarahan mereka. Saya rasa kasihan kepada mereka.
“Dan dua orang pemain telah dihantar pulang sebagai pendatang tanpa izin. Mereka tidak boleh datang ke Malaysia lagi. Mereka adalah seorang pemain Korea dan seorang pemain Bolivia. Para pemain mengalami kerugian akibat tindakan tidak bertanggungjawab pasukan tersebut.
“Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong dan mempercayai saya. Tolong bantu saya agar penulisan saya dapat dilihat oleh semua rakyat Malaysia. Saya berjuang demi bola sepak Malaysia.
“Pasukan telah memohon visa, tetapi jurulatih dan pemain mengatakan mereka belum menerima visa selama 6 bulan. Jurulatih dan pemain untuk perlawanan esok tidak dapat menaiki pesawat kerana mereka tidak mempunyai visa. Malah, jurulatih dan pemain adalah penduduk tanpa izin di Malaysia. Mereka terperangkap di Malaysia.
“Pasukan menggunakan wang pemain dan wang saya, tetapi mereka enggan memulangkannya. Mereka selalu mengelak, menipu, dan menunggu selama 6 bulan,” ulas beliau lagi.
Untuk aksi esok, wakil kelab dari Kelantan itu bakal menghadapi cabaran Sabah dan pasukan tersebut dijangks tidak membawa Park Jaehong bersama beberapa pemain import akibat masalah visa.