FAM Anggap Peta Hala Tuju F:30 Masih Belum Gagal

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan Peta Hala Tuju F:30 sebenarnya masih belum gagal, walaupun beberapa keputusan negatif dicatat Harimau Malaysia di pentas antarabangsa.

Terbaharu, sudah tentu ketika Malaysia bawah 16 (B-17) gagal untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-17 2025, selepas sekadar mencatat satu kekalahan serta sekali seri di peringkat kumpulan.

Selain itu, skuad Malaysia B-19 negara juga gagal sebelum ini untuk turut melayakkan diri mereka ke pentas Asia sehingga mereka mendapat kritikan daripada para peminat terutama menerusi media sosial.

Walaupun begitu, Datuk S Sivasundram selaku Timbalan Presiden FAM tampil mempertahankan Peta Hala Tuju F:30 masih belum gagal sepenuhnya.

Jelas beliau, hala tuju tersebut dilancarkan oada 31 Oktober 2018 dan perlu dilihat secara holistik serta bukan mengenai beberapa kegagalan semata-mata.

“Berdasarkan graf Peta Hala Tuju F:30 ini, sebenarnya banyak pencapaian telah dicapai terutamanya pada Fasa 1.

“Contohnya, Liga Suparimau yang diperkenalkan mulai tahun 2021 telah mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila memenangi anugerah bagi kategori grassroots.

“Bola sepak wanita pula mula menunjukkan petanda baik apabila pasukan Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila layak beraksi buat kali pertama pada kejohanan Liga Juara-Juara Wanita AFC tahun ini.

“Malah, sukan futsal juga tidak ketinggalan menampakkan perkembangan positif apabila Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) Divisyen 2 julung kali dianjurkan mulai tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, Sivasundram sendiri turut mengakui peta hala tuju tersebut sedikit terencat sebenarnya jika melihat kepada perjalanan semasa skuad B-16 serta B-19 Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Asia lalu.

“Tetapi kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen Kelayakan Piala Asia.

“Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa 1.

“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengarahkan Sekretariat FAM untuk mendapatkan laporan dari pengurus dan jurulatih B-16, B-19 serta Pengarah Teknikal, Scott O’Donell bagi melihat keseluruhan prestasi kedua-dua pasukan pada kejohanan kelayakan tersebut.

“Kita akan melihat hasil laporan post-mortem yang akan dibentangkan oleh pengurus, jurulatih serta Pengarah Teknikal dan selepas itu, kita akan keluarkan apa solusi dan tindakan yang boleh dibuat pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Sivasundram juga menyatakan O’Donell tidak wajar untuk dipersalahkan atas kegagalam skuad B-16 serta B-19 sehingga meraih kritikan keras daripada penyokong bola sepak tempatan.

“Kita tidak boleh menyalahkan Pengarah Teknikal kerana beliau telah menjalankan tugasnya untuk memberikan input kepada barisan kejurulatihan skuad B-16 dan B-20.

“Malah, beliau juga hadir pada Kelayakan Piala Asia itu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik buat kedua-dua pasukan remaja kebangsaan.

“Jadi beliau akan memberi pandangannya dalam laporan post-mortem pada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Teknikal yang saya pengerusikan nanti.

“Saya berharap kita akan dapat membuat tindakan susulan seterusnya dan merancang lebih awal bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang mana akan bermula tahun depan,” katanya.

Akhir sekali, beliau turut berkata pihak FAM bersetuju untuk menerima cadangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi melakukan kajian prestasi terhadap Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang hampir 10 tahun.

“Hasil daripada kajian dan dapatan yang dilakukan pihak AFC, selepas itu barulah kita akan melihat tentang pendekatan dan kesesuaian NFDP dan AMD sama ada perlu distruktur semula atau mengambil apa-apa tindakan yang bersesuaian.

“Jadi pihak FAM dan KBS menunggu hasil daripada kajian tersebut,” jelasnya akhir sekali mengenai perkara tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN