Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan mencipta pelbagai alasan atas kegagalan skuad kebangsaan bawah 17 (B-17) baru-baru ini untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-17 bagi musim 2025.
Sebaliknya, mereka akur keadaan pasukan itu sebenarnya tidak cukup baik sewaktu mereka mencipta kekalahan 0-2 kepada UAE serta terikat seri 2-2 bersama Laos.
Jelas Scott O’Donell selaku Pengarah Teknikal FAM, beliau menyifatkan ketiadaan saingan liga kebangsaan untuk kategori B-16 dan B-15 antara faktor kegagalan Malaysia di pentas kelayakan itu.
Ujar beliau, saingan tersebut sepatutnya diwujudkan sebagai platform terbaik buat para pemain mendapatkan minit permainan kompetitif serta lebih bersedia untuk pasukan kebangsaan.
Carta Kedudukan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-17 2025
* Selepas Hari Perlawanan 3 pada Ahad, 27 Oktober 2024
▶️ Malaysia gagal layak ke Piala Asia B-17 2025#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/xHlhntfcbK
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 27, 2024
“Tiada alasan (gagal layak). Kami menjalani kem latihan pusat yang baik di Johor yang mana kami bermain tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura (menang 4-0) dan Tajikistan ( kalah 2-1 & seri 1-1).
“Tapi kami tidak cukup bagus pada aksi sebenar iaitu saingan kelayakan di Vientiane apabila tewas 2-0 kepada UAE dan seri 2-2 dengan tuan rumah, Laos.
“Jujur saya katakan, kita akan terus bergelut untuk layak ke Piala Asia B-17 pada masa akan datang jika kita tidak mempunyai platform untuk pemain-pemain terbaik B-15 dan B-16 kita ini bermain perlawanan kompetitif secara tetap,” kata beliau.
Pada masa sama, O’Donell juga menyatakan Malaysia perlu memiliki pangkalan pemain lebih besar untuk barisan pemain dipilih ke kem kebangsaan skuad pembangunan Harimau Malaya dan tidak hanya bergantung penuh kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) serta Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Dengan adanya liga kebangsaan B-15 dan B-16, ia akan dapat memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka di sepanjang musim.
“Ia membolehkan jurulatih dan pencari bakat kami memerhati dan mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi di seluruh negara di sepanjang musim dan bukan hanya melihat mereka secara ‘one-off’ dalam satu perlawanan persahabatan.
“Sama juga dengan cadangan saya untuk menambahkan lagi bilangan perlawanan dalam pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden,” jelas beliau lagi.
Untuk rekod, terdapat Liga Piala Menteri Pendidikan B-14, Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17, Piala Belia B-18 dan Piala Presiden B-20 sebagai medan pembangunan semasa tunas muda.
Walaupun begitu setakat ini masih tiada liga kebangsaan bagi B-15 dan B-16, secara tidak langsung tiada platform terbaik untuk penilaian dalam mendapatkan pemain terbaik bagi mewakili skuad B-16 kebangsaan ke Kelayakan Piala Asia B-17.
“Pemain muda kita perlu bermain lebih perlawanan kompetitif di mana mereka akan dapat merasai kesan atau akibat jika melakukan kesilapan seperti mendapat kad kuning, memberikan sepakan penalti, foul yang tidak sepatutnya, mempersiakan peluang gol dan sebagainya.
“Sebagai contoh, kita memberikan empat sepakan penalti dalam empat perlawanan. Pemain tidak akan merasai sangat kesan atau akibat melakukan kesilapan-kesilapan tersebut jika dalam perlawanan persahabatan.
“Pemain muda kita perlu mendapatkan pengalaman bermain di bawah tekanan untuk membantu mereka membuat persediaan yang lebih baik bagi perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa dan profesional,” jelas O’Donell.