Nafuzi Zain yang merupakan jurulatih utama Kedah Darul Aman (Kedah) menyifatkan Sabah sebagai lawan sukar untuk dihadapi mereka sebelum aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2024/2025.
Terdahulu, Kedah telah pun mencipta keputusan positif dalam dua perlawanan dihadapi mereka bagi saingan Liga Super menerusi siri kemenangan mengatasi Terengganu, serta terikat seri 1-1 bersama PDRM di Stadium Darul Aman (SDA).
Walaupun memiliki isu tunggakan gaji yang masih dilaporkan membelenggu kelab tersebut, Nafuzi berjaya memastikan Sang Kenari meraih keputusan positif bersama corak permainan menyakinkan.
Sudah tentu kini ramai peminat mengharapkan supaya Kedah mampu untuk terus terbang tinggi mengatasi Sabah atau sekurangnya mengelak daripada sebarang kekalahan.
Menurut Nafuzi, beliau mengharapkan supaya para pemain kendaliannya tampil dengan semangat tinggi seperti ditampilkan pada dua aksi lalu untuk menghadapi cabaran tuan rumah.
“Kita bakal berdepan dengan skuad Sabah FC dengan persiapan empat hari sebelum aksi dan saya akan pastikan pemain yang benar-benar bersedia untuk menggalas cabaran sukar di tempat lawan kali ini.
“Saya perlu memikirkan perancangan dan strategi yang terbaik untuk pemain beraksi di tempat lawan dalam tempoh ini kerana kita tahu Sabah pasukan yang kuat dan kini berada di tangga ketiga Liga Super.
“Kami juga menganggap aksi berdepan Sabah ini satu aksi yang sukar dan perlu lebih waspada bagi memastikan kami tidak keciciran mata dalam misi kami seterusnya dalam liga,” kata beliau menerusi perkongsian Harian Metro.
Sebelum itu, Sabah tampil dengan momentum cukup baik apabila pasukan tersebut masih segar dengan kemenangan 4-0 mengatasi Penang.
Bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, Sabah jelas tampil dengan kekuatan yang seimbang di segenap posisi dan mampu memberi ancaman berbahaya kepada Kedah.
Pada masa sama, Nafuzi juga berharap isu tunggakan gaji juga mampu diselesaikan supaya ia mampu memberi lebih motivasi kepada para pemain untuk aksi itu.
“Jadi dari segi persiapan itu kami perlu lakukan dengan cukup bersedia dan saya lihat setakat ini kekal bersemangat dan semangat pemain tidak luntur walaupun berdepan dugaan yang masih kami hadapi.
“Namun pemain tetap memerlukan satu ‘energy booster’ yang boleh beri ‘tonik’ luar biasa yang mana hal berkaitan ini semua sudah sedia maklum,” katanya akhir sekali.