Kuching City terus membuktikan diri mereka selaku antara pasukan yang begitu ‘liat’ untuk ditewaskan, selain tampil bersama kualiti permainan cukup menyakinkan pada saingan musim ini.
Penghargaan perlu diberikan kepada Aidil Sharin Sahak yang mengubah prestasi semasa pasukan itu yang terumbang ambing pada tahun lalu menjadi sebuah pasukan serba lengkap untuk memberi cabaran sengit.
Berada di tangga kelima terbaik Liga Super setakat ini, ianya boleh dianggap sebagai suatu lonjakan yang cukup hebat buat pasukan tersebut walaupun baru memasuki musim kedua di saingan Liga Super.
Terbaharu, kelab tersebut juga berjaya mencipta kemenangan 3-1 mengatasi cabaran Kuala Lumpur City (KL City), sekali gus meneruskan momentum dua aksi tanpa tewas berturut-turut.
Hadir dengan rombakan membabitkan posisi pemain tempatan dan import, Aidil bijak menggunakan segala pemain dimiliki untuk membentuk sebuah kelab berdaya saing.
Malah, ada beberapa nama pemain yang sebelum itu sedikit suram dalam dunia bola sepak Malaysia kini kembali menyinar bawah sentuhan ‘ajaib’ beliau.
Jordan Mintah
Antara penyerang import yang sebenarnya memiliki kualiti cukup baik selaku mesin gol sesebuah kelab, tetapi sering dipinggirkan terutama sekali ketika mewakili Terengganu.
Di Terengganu, nama beliau pada musim lalu kurang mendapat perhatian Tomislav Steinbruckner dan penyertaan Mintah bersama Kuching City dianggap sebuah langkap cukup baik.
Statistik semasa menyaksikan beliau sudah pun meledak lima gol bersama satu bantuan jaringan daripada 13 penampilan buat skuad berkenaan serta turut memberi pengaruh besar dalam permainan Kuching City.
Nurshamie Iszuan
Sayap kanan Kuching City ini antara yang mendapat kritikan besar segelintir peminat tempatan sebelum itu ekoran impak beliau di atas padang tidak begitu dirasai.
Bawah kendalian Aidil, pemain ini menjadi antara pilihan utama beliau untuk mengungguli posisi sayap kanan dan berjaya memberi impak terbaik bersama pasukan.
Statistik beliau mungkin dilihat tidak begitu memberansangkan, namun setidaknya Shamie mengalami peningkatan cukup baik daripada segi kepantasan, kawalan bola, stamina, serta kreativiti membuat hantaran.
Jimmy Raymond
Nama Jimmy mungkin tidak begitu terkenal jika kita lihat pada posisi beliau selaku pertahanan kanan, ekoran Malaysia memiliki beberapa lagi pemain berkualiti seperti Matthew Davies serta Azam Azmi.
Namun, Jimmy membuktikan dirinya layak untuk cuba dipanggil skuad kebangsaan menyertai kem latihan akan datang sekurangnya jika kita lihat pada sumbangan serta prestasi positif beliau buat Kuching City.
Kekuatan fizikal, kepantasan, serta bijak menutup segala ruang menjadikan Jimmy sebagai antara pemain memiliki pakej berkualiti selaku seorang kereta kebal pasukan itu.