Selangor bakal menghadapi satu lagi cabaran getir hari ini dalam saingan Liga Super bagi musim 2024/2025 dengan pertemuan membabitkan kelab itu menentang cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT).
Atas kertas, kelebihan jelas buat JDT yang mencatat rekod semua kemenangan sejak lima perlawanan lalu termasuk di pentas Piala FA untuk membuktikan mereka sangat jitu ke atas Selangor.
Apatah lagi musim ini juga menyaksikan Selangor turut mencipta kekalahan besar 1-6 kepada skuad kendalian Hector Bidoglio ketika saingan akhir Piala FA pada 24 Ogos lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Namun, prestasi semasa skuad kendalian Nidzam Jamil juga tidak boleh dipertikaikan kerana mereka masih segar akan kejayaan untuk mengejutkan Jeonbuk Hyundai dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL 2) beberapa hari lalu.
Sudah tentu Nidzam mempunyai perancangan untuk terus mengekalkan momentum positif itu pada aksi seterusnya menentang salah satu gergasi Asia tersebut di halaman sendiri.
Melihat pada aksi ini, kami menyenaraikan empat pemain tumpuan membabitkan kedua pasukan tersebut yang dijangka bakal memberikan impak besar dalam permainan.
Harith Haiqal
Pertahanan muda Harimau Malaya ini mempamerkan aksi cukup cemerlang selaku pertahanan utama ketika menghadapi cabaran getir daripada Jeonbuk Hyundai lalu.
Bukan selaku pertahanan utama, Harith juga menjalankan tugas dengan cukup cemerlang selaku kapten The Red Giants sehingga menyumbang motivasi kemenangan buat pasukan tersebut.
Selain memiliki disiplin tinggi di posisi pertahanan, Harith juga mempunyai keupayaan untuk meledak gol menerusi situasi bola mati dan sudah pun dibuktikannya sejak aksi-aksi lalu.
Ali Olwan
Antara pemain paling berkualiti pernah ditandatangani Selangor untuk memperkukuhkan aspek serangan mereka bagi saingan domestik serta Asia musim ini.
Olwan yang memiliki pengalaman serta tajam di hadapan gol sebelum ini bersama Jordan, sudah pun membuktikan mengapa dirinya layak untuk menyarung jersi utama Selangor kini.
Pantas, kualiti gelecekan, serta kekuatan fizikal menjadi aset beliau untuk mengatasi mana-mana pertahanan lawan selain tajam menyempurnakan segala peluang terhidang.
Arif Aiman Hanapi
Bintang muda paling sensasi musim ini di pentas Liga Malaysia (Liga M), serta turut menyinar dalam saingan ACLE bersama JDT menerusi impak beliau di bahagian serangan.
Terkenal dengan skil gelecekan serta ketajaman beliau di hadapan gawang gol, jelas Arif bakal menjadi salah satu pertaruhan utama Bidoglio untuk mengkucar kacirkan pertahanan Selangor hari ini.
Sembilan gol serta tujuh bantuan jaringan daripada 17 penampilan menjadi asbab utama mengapa Selangor perlu berwaspada akan kelibat Arif pada aksi itu walau bermain di laman sendiri.
Bergson da Silva
17 perlawanan 17 gol menjadi bukti utama mengapa Bergson sentiasa menjadi igauan ngeri buat mana-mana pertahanan serta penjaga gol pasukan lawan.
Pemain ini sudah membuktikan ketajaman beliau sejak tahun-tahun lalu dan kualiti Bergson di atas padang tidak lagi boleh dinafikan oleh mana-mana peminat bola sepak di Malaysia.
Jangkaan kami, pemain dari Brazil itu akan menjadi pilihan utama Bidoglio pada malam ini selaku salah seorang penggempur utama JDT untuk mengatasi cabaran Selangor.