Dua tahun bergelut dengan isu kecederaan serta prestasi semasa, akhirnya Hazwan Bakri kini kembali menggegarkan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada saingan musim ini bersama Kuching City.
Jaringan beliau pada aksi terbaharu membabitkan Kuching City ketika menentang Negeri Sembilan memastikan pasukan itu untuk meraih keputusan seri di halaman sendiri.
Dibawa masuk selaku pemain gantian di separuh masa kedua, jelas percaturan dibuat oleh Aidil Sharin Sahak begitu menjadi apabila siri serangan Kuching City bertambah baik sehingga mampu mencetuskan jaringan pembukaan kelab tersebut.
Untuk rekod, Hazwan dibawa masuk menyertai kelab itu pada jendela perpindahan kedua Liga M dan Aidil tampil mempertahankan asbab beliau memerlukan khidmat bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Apa tidaknya, terdahulu sekelompok peminat kelab berkenaan mempertikaikan keputusan Aidil untuk menandatangani Hazwan yang dianggap sudah pun tumpul selaku penyerang handalan.
Rekod menyaksikan Hazwan sudah pun kemarau daripada menghasilkan jaringan melebihi dua tahun dan musim lalu beliau terpaksa diketepikan JDT atas isu kecederaan panjang.
Menerusi rekod dikongsikan oleh Transfermarkt, kali terakhir bekas penyerang Harimau Malaya itu meledak gol pada bulan Julai tahun 2022 ketika JDT mengatasi cabaran Melaka United bagi aksi Piala FA.
Selepas itu beliau terpaksa diketepikan kerana isu kecederaan panjang yang berlarutan selain memerlukan lebih banyak masa untuk kembali menyesuaikan diri di atas padang.
Pastinya jaringan terbaharu beliau itu sedikit sebanyak meningkatkan kembali motivasi serta keyakinan beliau daripada segi sentuhan di hadapan gawang gol selepas ini.
Menerusi pengalaman beliau terdahulu, dijangka Hazwan tidak mengambil masa yang lama untuk cepat menyesuaikan diri serta mencipta persaingan sengit bersama tonggak import seperti Jordan Mintah demi merebut kesebelasan utama selepas ini.
Bekas pemain paling bernilai tahun 2016 itu juga sudah tentu sedikit sebanyak ingin mengintai kembali peluang pada masa hadapan untuk menyertai kembali kem kebangsaan jika beliau mampu mengekalkan prestasi terbaik.
Aksi selepas ini menyaksikan Kuching City bakal menghadapi Kuala Lumpur City (KL City) di gelanggang lawan, dan sudah tentu Hazwan masih ingin membuktikan sesuatu positif buat para peminat bola sepak tempatan.
Kami di Semuanya BOLA berharap agar karier Hazwan terus berkembang dengan lebih pesat semula tanpa sebarang isu kecederaan lagi selain mendoakan dirinya kekal cemerlang bersama Kuching City.