Selangor hadir dengan kejutan tidak dijangka, apabila wakil dari Malaysia itu menewaskan kelab gergasi Korea Selatan menerusi kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Awal perlawanan menyaksikan pelawat terlebih dahulu sebenarnya cuba memberi asakan padu ke atas Selangor menerusi gerakan pantas mereka yang bertali arus ke arah pertahanan tuan rumah.
Walaupun begitu, skuad kendalian Nidzam Jamil tampil tenang menyerap asakan lawan menerusi disiplin daripada rangkaian pertahanan mereka pada awal permainan.
Pada aksi ini jelas Selangor tampil dengan persediaan cukup rapi, dengan mereka sesekali tampil memberi ancaman menerusi siri serangan balas pantas yang diketuai oleh penyerang handalan dari Chile, Ronnie Fernandes.
Tatkala penguasaan jelas terarah kepada Jeonbuk Hyundai, tampil Selangor cemerlang mendapatkan gol pertama menerusi bintang muda Harimau Malaya iaitu Harith Haiqal pada minit ke-31.
Berselang dua minit kemudian, Stadium MBPJ terus gamat dengan kali ini giliran penyerang import mereka iaitu Ali Olwan pula mendapatkan gol pada minit ke-33.
Sesuatu cukup menarik untuk diperkatakan ialah mengenai ketelitian serta disiplin Selangor yang tampil bersabar sepanjang aksi untuk menyerap asakan lawan, dan menggunakan peluang sebaik mungkin ketika mereka memperoleh ruang menyerang.
The Red Giants akhirnya bolos jua pada minit ke-40 apabila giliran Kwon Chang-hoon meledak gol untuk menewaskan penjaga gol muda Malaysia iaitu Azim Al Amin.
Bersambung di separuh masa kedua, Jeonbuk sekali lagi hadir dengan ancaman-ancaman berbahaya dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol penyamaan sekurangnya.
Secara tiba-tiba Selangor kembali hadir dengan situasi serangan balas pantas berbahaya hasil percubaan berbahaya Nikola Jambor pada minit ke-50 yang sekadar menggegarkan palang gol lawan.
Aspek fizikal rangkaian serangan Selangor jelas digunakan dengan sangat baik, apabila Olwan dan Fernandez sering berjaya mengatasi kekuatan pertahanan lawan.
Selepas 60 minit aksi berlangsung, jelas Selangor lebih banyak memberi ancaman ke arah kubu lawan menerusi tekanan-tekanan tinggi dberikan untuk mengkucar kacirkan pertahanan Jeonbuk.
Memasuki minit ke-80, kedua pasukan masih lagi berusaha untuk mendapatkan gol dengan masing-masing dilihat saling berbalas serangan dengan sangat seimbang.
Aksi berkesudahan dengan kemenangan kedua berpihak buat Selangor dalam saingan ACL 2 musim ini dengan Jeonbuk terpaksa pulang ke Korea Selatan dengan tangan kosong.
Kesebelasan Utama
Selangor: Azim Al Amin (Penjaga Gol), Harith Haiqal (Kapten), Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Nooa Laine, Ronnie Fernandez, Ahmad Zikri, Yohandry Orozco, Nikola Jambor, Ali Olwan, Umar Eshmurodov
Jeonbuk Hyundai: Kim Jeonghoon (Penjaga Gol), Lee Soobin, Ku Ja-Ryong (Kapten), Bak Jae-yong, Jung Woo-jae, Choi Chul Soon, Kim Hajun, Park Chaejun, Jin Taeho, Kwon Chang-hoon, Yu Jeho