‘Kerja Pakai Kabel Ke?’ – Pegawai Selangor Dilabel Tak Profesional Kepada Pengamal Media

Nama Selangor nampaknya terus terpalit dengan kontroversi tak menyenangkan selepas kali ini ia membabitkan salah seorang pegawai pasukan tersebut kepada pengamal media sukan.

Menerusi perkongsian Flash Sukan, mereka tampil kecewa selepas mendakwa telah pun dihamburkan kata-kata kesat daripada pegawai pasukan The Red Giants seusai perlawanan membabitkan kelab berkenaan menentang PDRM.

“Pihak kami kecewa dengan tindakan yang dilakukan salah seorang pegawai pasukan Selangor FC yang menghujat pengamal media dengan kata-kata kesat di hadapan orang ramai selepas berakhir perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Perbandaran Selayang pada Sabtu.

“Tindakan itu jelas tidak profesional dalam keadaan dia lengkap berpakaian rasmi kelab dan pihak media juga lengkap dengan kad akreditasi yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang membawa maksud kedua-dua pihak sedang menjalankan tugas.

“Tambah memalukan, tindakan itu berlaku di tempat lawan yang mana pihak tuan rumah telah memberikan layanan terbaik buat pihak media yang sentiasa berada di lapangan untuk memberikan laporan yang tepat dan sahih,” jelas Flash Sukan.

Pada masa sama, Flash Sukan turut mendedahkan pegawai bertugas tersebut pernah dikenakan hukuman pada tahun lalu atas isu provokasi dalam saingan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023.

“Menerusi semakan yang dibuat, pegawai itu sebelum ini pernah dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah melakukan provokasi melampau ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

“Pihak kami akan meminta maklum balas daripada kelab berkaitan hal ini dan berharap perkara seperti ini tidak berulang kerana pegawai ini membawa imej buruk buat kelab yang diterajui Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Jelas tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pegawai pasukan tersebut, kerana ia membawa imej profesional sesebuah pasukan kepada pihak luar.

Apatah lagi kini Selangor sedang mencipta sesuatu yang positif untuk terus mempromosikan kelab tersebut di pentas lebih tinggi seperti Asia dan ia sangat merugikan jika mereka masih lagi mempunyai pegawai bersikap sedemikian.

Di media sosial, beberapa penyokong tempatan juga tidak berpuas hati akan sikap pegawai berkenaan selain ada turut menganggap beliau menyertai Selangor secara ‘kabel’.

Pada aksi semalam, The Red Giants terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika berdepan PDRM di gelanggang lawan hasil jaringan Alvin Fortes sebelum disamakan kembali oleh Aremu Timothy.

Keputusan itu menyaksikan The Red Giants terlepas peluang untuk sekurangnya merapatkan jurang mereka bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu Liga Super 2024/2025.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN