Suatu kejutan. Tatkala ramai menyangkakan bola sepak Kedah Darul Aman (Kedah) di ambang ‘maut’ dalam dunia bola sepak tempatan, pasukan ini kekal mencipta magis tersendiri.
Jaringan tunggal daripada bintang Brazil, Cleylton dos Santos pada penghujung separuh masa pertama menggamatkan seketika suasana di Stadium Darul Aman (SDA) untuk meletakkan mereka di hadapan Terengganu.
Namun, tidak ramai yang menyangka gol daripada pertahanan import itu sebenarnya memastikan nama Sang Kenari terus ‘hidup’ di saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.
Jaringan tunggal pertahanan dari Brazil itu nyata memastikan Kedah berjaya meraih tiga mata yang dirindui dalam saingan Liga Super setelah kali terakhir mereka merasainya pada 12 Julai lalu.
Gelap tidak bermakna tiada sebarang titik cahaya akan tersirna, begitulah jua buat Kedah yang setelah sekian lama hanya berkisarkan perkara negatif, akhirnya mereka kembali meraih kejayaan.
Satu jaringan itu dipertahankan sebaik mungkin dalam setiap pemain sehingga ke wisel penamat biarpun mereka mendapat tentangan cukup sengit daripada Sang Penyu.
Sebut sahaja nama Ifwat, Cleylton, Sony Norde, termasuk Milos Gordic jelas masing-masing berusaha sehabis baik walaupun semua memiliki masalah tersendiri yang usah untuk disebut lagi.
Menang, tiga mata, serta tidak bolos, menjadi kombinasi yang dirindui para penyokong kepada Sang Kenari sejak sekian lama.
Buat kem Kedah sendiri, sudah tentu kesakitan mereka sebenarnya sedikit terubat akan keputusan positif itu selain sokongan padu diberikan penyokong yang berjumlah 3,281 semalam.
Penulis percaya, jumlah kehadiran itu menjadi titik perubahan besar untuk menarik kembali lebih ramai penyokong selepas ini ke stadium demi menolak Kedah dari lembah kehancuran.
Jika dilihat pada aksi semalam, setiap pemain tampil dengan aksi cukup bertenaga untuk membuktikan mereka masih ada dan sedia terus pertahankan nama pasukan tersebut.
Aksi seterusnya menyaksikan Kedah bakal beraksi di lokasi sama pada 25 Oktober untuk menerima tentangan PDRM pula dan sudah tentu kehadiran lebih ramai penyokong ditagih pasukan berkenaan.
Kami di Semuanya BOLA mengharapkan bukan sahaja keputusan positif kita dengar membabitkan Kedah di atas padang, tetapi isu dalaman mereka juga turut kedengaran demi memastikan Sang Kenari terus bernafas.