Impak Nurullaev Ditagih Untuk Bantu Kedah Hadapi Terengganu

Penyerang lincah Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Sukhrob Nurullaev menjadi antara pemain tumpuan untuk aksi Liga Super musim 2024/2025 hari ini membabitkan kelab tersebut menentang Terengganu.

Atas kertas, mungkin kelebihan terarah kepada Sang Penyu yang tampil dengan kualiti pemain serta tidak memiliki sebarang isu dalaman jika dibandingkan Sang Kenari.

Malah pertemuan terakhir mereka pada 3 Julai lalu juga memihak kepada Terengganu yang meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan bintang tempatan Engku Shakir pada minit ke-16.

Walaupun momentum semasa kedua pasukan itu tidak konsisten, skuad Badrul Afzan Razali dianggap memiliki keupayaan untuk meraih tiga mata penuh biarpun beraksi di Stadium Darul Aman (SDA).

Carta semasa liga menyaksikan Terengganu kini di tangga ketiga, sementara Kedah berada pada kedudukan ke-11 dengan hanya meraih sembilan mata keseluruhan.

Bagi aksi hari ini, kami melihat tiga pemain dianggap mampu untuk meninggalkan impak besar dalam permainan sekali gus menyumbang sesuatu positif buat kelab diwakili.

Sukhrob Nurullaev (Kedah)

Pemain sayap kanan Kedah ini mungkin kurang disebut dalam kalangan peminat, ekoran kualiti ditinggalkan oleh Sony Norde juga sangat memberansangkan buat siri serangan Sang Kenari.

Apatah lagi statistik semasa beliau juga menyaksikan bekas penyerang Uzbekistan bawah 23 (B-23) ini juga tidak begitu memberansangkan selepas beliau hanya meledak satu gol bersama satu bantuan jaringan daripada tujuh aksi dihadapi.

Namun, kelincahan serta kreativiti ditawarkan oleh Sukhrob sangat berkualiti terutama membabitkan aspek satu lawan satu bersama pemain pertahanan lawan.

Satu jaringan diledak Sukhrob ketika Kedah menghadapi cabaran Sri Pahang lalu membuktikan dirinya sangat berbahaya jika tidak dirantai sebaik mungkin.

Safawi Rasid (Terengganu)

Boleh dianggap antara pemain yang kembali mengecapi detik positif pada saingan musim ini selepas beliau dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama Terengganu.

Bagi saingan musim ini sahaja bintang Harimau Malaya itu sudah meledak tujuh gol bersama dua bantuan jaringan daripada 16 perlawanan dihadapi termasuk dalam kejohanan ACC Shopee Cup.

Safawi boleh dianggap cukup berbahaya menerusi rembatan deras dari jarak jauh, atau ketika Terengganu meraih sepakan percuma dari luar kotak penalti menerusi kualiti sepakannya.

Manuel Ott (Terengganu)

Perancang utama Sang Penyu ini meneruskan momentum positif beliau selaku aset utama pasukan terutama ketika situasi mereka sedang mengasak kubu lawan.

Kreativiti, kualiti hantaran, serta ketenangan beliau menjadi kunci utama kekuatan Ott untuk meninggalkan impak cukup besar kepada posisi serangan kelab tersebut.

Catatan semasa menyaksikan bintang kebangsaan Filipina itu sudah meledak empat gol bersama dua bantuan jaringan daripada 17 perlawanan dihadapi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN