“Saya Gembira Dapat Sertai Selangor” – Mohammad Abualnadi

Pemain import baharu Selangor iaitu Mohammad Abualnadi secara rasminya telah pun diperkenalkan petang semalam untuk mengisi posisi sayap serta pertahanan kiri pasukan tersebut pada saingan musim ini termasuk dalam saingan AFC Champions League Two (ACL 2).

Menerusi perkongsian rasmi The Red Giants, Abualnadi ditandatangani untuk memperkukuhkan posisi kiri Selangor serta memberi lebih pilihan pemain buat kejurulatihan pada aksi akan datang.

“Mohammad Abualnadi hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain pertahanan dan sayap kiri terbaru Gergasi Merah yang telah didaftarkan sebelum jendela perpindahan tutup tempoh hari untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025,” jelas laman tersebut.

Untuk rekod, pemain berdarah kacukan Jordan-Amerika Syarikat ini memulakan karier dalam dunia bola sepak ketika berusia 18 tahun untuk menyertai Kansas Academy.

Selama lima musim di Amerika, Abualnadi telah menyertai pelbagai kejohanan domestik termasuk diserap bersama skuad utama Kansas City sebelum buat pertama kali menyarung jersi kelab tempatan Jordan, Al-Hussein SC.

Pada usia 23 tahun, Abualnadi telah pun beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan Jordan sejak tahun 2022 selain turut dipanggil skuad senior negara itu pada musim ini.

“Pemain kelahiran 2001 ini juga merupakan pemain kebangsaan Jordan yang telah beraksi bersama skuad bawah 23 tahun dalam Kejohanan West Asian Football Federation B23 (empat penampilan, dua jaringan gol), Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia B23 (tiga penampilan dan satu gol) dan Kejohanan AFC B23.

“Musim 2024 menjadi batu loncatan bagi pemain berketinggan 188cm ini apabila menerima panggilan Kebangsaan bagi kem latihan pada bulan Julai sebelum akhirnya membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama Jordan semasa menentang North Korea dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 Ogos yang lalu.

“Beliau juga telah tersenarai dalam dua perlawanan kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestina baru-baru ini,” ulas laman berkenaan lagi.

Ketika ditanya mengenai perasaan menyertai Selangor, Abualnadi jelas teruja menyarung jersi salah satu kelab gergasi di Malaysia itu kerana sejarah serta sokongan para peminat.

“Secara jujurnya, saya gembira dapat menyertai Selangor FC. Saya berasa terinspirasi untuk menyertai pasukan ini kerana sejarah yang dimiliki dan para peminat yang penuh semangat memberi sokongan dalam setiap perlawanan.

“Apabila ejen saya memberitahu berkenaan tawaran yang mereka berikan, saya tahu bahawa inilah tempat yang tepat untuk saya.

“Saya akan berikan segalanya untuk pasukan. Tidak dinafikan, menyarung jersi ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi saya bersedia menghadapinya dan membantu rakan sepasukan dalam mencapai matlamat kami di sini.

“Saya amat teruja untuk merasai sokongan padu daripada para penyokong Gergasi Merah dan saya berharap dapat membanggakan mereka dalam mencapai kejayaan musim ini,” kata Abualnadi.

Pada masa sama, pengendali utama Selangor iaitu Nidzam Jamil turut percaya kehadiran Abualnadi mampu menjadi aset kekuatan terbaharu buat Selangor baik di pentas domestik atau Asia.

“Sebagai jurulatih, saya percaya bahawa beliau akan menjadi aset yang berharga buat pasukan sebagai pemain pertahanan dan pemain sayap di bahagian kiri.

“Saya juga melihat potensi beliau untuk memperkukuh dinamik barisan pertahanan, terutamanya dalam menghadapi ACL Two 2024/25,” kata beliau pula.

Sumber:
Selangor FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN