ACLE: 2 Jaringan Arif Aiman Pastikan JDT Seri Ketika Bertemu Shanghai Port

Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan keputusan seri pada aksi pertama mereka di pentas AFC Champions League (ACLE) musim ini selepas pasukan itu terikat bersama wakil dari China iaitu Shanghai Port 2-2.

Beraksi di gelanggang lawan, wakil dari Malaysia itu meraih dua jaringan menerusi pemain bintang mereka iaitu Arif Aiman Hanapi untuk dua kali mendahului pasukan lawan.

Awal permainan menyaksikan kedua pasukan saling seimbang untuk menguasai permainan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang daripada menghampiri gawang gol masing-masing.

JDT tampil dengan sisi kelainan tersendiri pada aksi tersebut, apabila mereka menyenaraikan kesebelasan utama berbeza serta menampilkan import baharu untuk berdepan tuan rumah.

Melepasi 12 minit perlawanan, kedua pasukan masih belum mencipta sebarang percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol masing-masing, selain wisel kerap ditiupkan oleh pengadil akibat perlanggaran antara pemain.

Sesekali, Shanghai Port tampil lebih menyerlah menerusi tekanan-tekanan tinggi diberikan untuk mengkucar kacirkan pertahanan skuad kendalian Hector Bidoglio.

Beberapa siri kekasaran membabitkan kedua pasukan ini menyaksikan pengadil kerap meniupkan wisel untuk meredakan sedikit ketegangan selain ada layangan kad kuning juga turut dilayangkan.

Juan Muniz hampir memberi kegembiraan buat kem JDT menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-32, sebelum bola tersebut berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah.

Arif Aiman akhirnya berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-44 menerusi satu percubaan deras dari luar kotak penalti hasil gelecekan beliau untuk mengelirukan pertahanan Shanghai Port yang sangat berkualiti.

Keputusan itu meletakkan JDT kini di hadapan sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan sebagai bekalan motivasi terbaik mereka untuk tampil lebih baik pada babak kedua.

Bersambung di separuh masa kedua, tuan rumah memulakan aksi bersama beberapa siri serangan pantas dalam usaha untuk kembali menyamakan kedudukan.

Hasilnya, mereka berjaya meraih kembali jaringan penyamaan pada minit ke-48 menerusi penyerang berbisa dari Brazil iaitu Gustavo untuk menewaskan penjaga gol baharu JDT.

Arif sekali lagi menjadi wira buat pelawat, apabila beliau berjaya meledak gol kedua JDT pada minit ke-55 menerusi gerakan solo beliau untuk mengelirukan pertahanan Shanghai Port sebelum satu rembatan deras menerjah gawang tuan rumah.

Tersentak akan gol tersebut, Shanghai Port meneruskan asakan bertali arus untuk kembali menyamakan kedudukan dari segenap arah sehingga memaksa JDT lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.

Tuan rumah kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Willian Popp yang cemerlang melepaskan rembatan deras dari dalam petak penalti untuk menggamamkan seketika kem pelawat.

Keputusan perlawanan kekal tamat dengan kedua pasukan sekadar berpuas hati untuk mengutip satu mata setelah masing-masing terikat menerusi keputusan 2-2 yang dianggap sangat sengit di pentas Asia.

Kesebelasan Utama

Shanghai Port: Yan Junling (Penjaga Gol), Zhang Linpeng, Oscar Junior (Kapten), Gustavo Henrique Sousa, Matias Ezequiel Martin, Wei Zhen, Leonardo Cittadini, Matheus Isaias, Willian Popp, Bao Shimeng, Li Shuai

Johor Darul Ta’zim: Andoni Dorronsoro (Penjaga Gol), Murilo de Araujo Santos, Park Jun-heong, Shane Lowry, Iker Undabarrena, Juan Muniz Gallego, Eddy Silvestre Israfilov, Oscar Arribas, Natxo Insa (Kapten), Arif Aiman, Jorge Leonardo Rojas

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN