3 Bintang Shanghai Port ‘Wajib’ JDT Rantai Pada Aksi Sulung ACLE

Shanghai Port bakal menjadi lawan pertama buat Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) yang akan membuka tirai pada hari ini di Stadium Bola Sepak Pudong.

Reputasi wakil kelab dari China itu jelas tidak boleh dipandang ringan oleh JDT kerana mereka memiliki rantaian pemain dengan reputasi cukup tinggi selain mempamerkan aksi cukup menyakinkan.

Musim ini sahaja menyaksikan Shanghai Port sudah pun meraih 21 kemenangan daripada 25 perlawanan untuk berada di tangga pertama saingan Chinese Super League (CSL).

Walaupun begitu, reputasi JDT di pentas Asia juga tidak boleh dipertikaikan selain momentum mereka sendiri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024.

Melihat pada aksi yang akan datang, sudah tentu Shanghai Port tidak ingin mengambil mudah cabaran tersebut dengan beberapa pemain utama mereka bakal mencuri tumpuan.

Berikut merupakan tiga pemain utama Shanghai Port yang perlu diawasi wakil dari Malaysia ini untuk aksi sulung mereka di gelanggang lawan yang dianggap bakal memberi cabaran buat Hector Bidoglio selaku pengendali utama.

Gustavo

Penyerang utama dari Brazil ini memiliki reputasi cukup tinggi dalam saingan CSL musim 2024 menerusi ketajaman serta impak besar diberikan beliau buat pasukan.

Rekod semasa menyaksikan Gustavo sudah meledak 19 gol bersama lima bantuan jaringan daripada 27 penampilan di pentas domestik untuk berada di tangga kedua penjaring terbanyak.

Kelebihan Gustavo sudah tentu terarah kepada kekuatan fizikal milik beliau serta sentiasa berada di kedudukan cukup tepat untuk menerima umpanan rakan sepasukan.

Oscar

Bekas bintang sensasi saingan utama di England iaitu Oscar antara pertaruhan utama yang bakal dibawa oleh pengendali Shanghai Port iaitu Kevin Muscat untuk mengukuhkan posisi tengah serta serangan.

Kredibiliti Oscar tidak perlu dipertikaikan lagi selepas beliau menyertai kelab itu sejak 2017 untuk meninggalkan kelab gergasi England iaitu Chelsea untuk menjadi nadi utama Shanghai Port.

Musim ini sahaja bekas pemain kebangsaan Brazil tersebut sudah merekodkan 11 gol serta 21 bantuan jaringan daripada 27 perlawanan diharungi untuk menjadikan dirinya sebagai salah satu tumpuan utama buat pertahanan JDT.

Wu Lei

Salah seorang penyerang terbaik sepanjang zaman China ini boleh dianggap berada dalam momentum terbaik setelah beliau kini unggul selaku status penjaring terbanyak semasa CSL.

Wu Lei boleh dianggap sebagai salah seorang penyerang cukup berbahaya menerusi ketajaman beliau yang sangat jarang mengecewakan di hadapan pintu gol.

Kenapa JDT perlu mengamati beliau sebaik mungkin? Rekod semasa jaringan beliau menyaksikan Wu Lei telah meledak 31 gol daripada 28 perlawanan selain turut menghasilkan 12 bantuan jaringan.

Selain itu Shanghai Port turut memiliki pemain serangan bersama reputasi tinggi seperti bekas pemain kebangsaan Argentina iaitu Matias Vargas, Mattheus Jussa, serta Leo Cittadini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN