ACL Elite Memberi JDT Siling Baharu Untuk Dicapai

Dua dekad lepas, adalah tidak pelik untuk melihat pasukan dari Malaysia merehatkan pemain utama ketika perlawanan Piala AFC tengah minggu, demi memastikan kemenangan perlawanan liga hujung minggu.

Pada musim 2011, Selangor dan Negeri Sembilan menarik diri daripada menyertai Piala AFC selepas FAM mengharamkan pengambilan pemain import. Tujuh tahun berikutnya, giliran Pahang menarik diri atas alasan ‘mahu memberi fokus kepada aksi Liga Super’.

Dalam erti kata lain, sejak 2004 lagi (tahun pertama penganjuran AFC Champions League dan AFC Cup), kejohanan benua bukanlah keutamaan kelab Malaysia. Sehinggalah JDT ditubuhkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tahun 2013.

Sumber: Johor Southern Tiger

Untuk berlaku adil kepada kelab-kelab Liga Super sebelum JDT, kejohanan benua anjuran AFC sendiri tidak memberi banyak motivasi kepada pesertanya. Terpaksa menempuh perjalanan berjarak jauh, bermain di stadium yang kerap lengang, serta insentif kewangan yang tidak lumayan — antara sebabnya.

Tetapi di mata DYAM Tunku Mahkota Ismail, kejohanan benua anjuran AFC lebih daripada sekadar pelengkap kalendar musim. Pada tahun 2013, AFC Cup merupakan batu penanda kemajuan JDT yang setahun jagung. Penyertaan konsisten ke AFC Cup, kemudian AFC Champions League merupakan satu kewajiban. Sedekad selepas itu, batu penanda kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia moden itu adalah AFC Champions League Elite (ACL Elite).

ACL Elite datang pada masa yang tepat, dengan insentif kewangan yang berpatutan.

Setiap kelab yang layak ke ACL Elite dilaporkan akan menerima wang penampilan berjumlah USD800,00 (RM3.6 juta) dan peluang memenangi hadiah wang sehingga USD100 juta (RM443 juta).

Jumlah wang ini akan bertambah mengikut sejauh mana JDT bertahan dalam kejohanan elit tersebut. Dalam kejohanan yang diperbaharui ini, hanya 24 pasukan akan bertanding (berbanding 40 sebelum ini). Tiada lagi perlawanan peringkat kumpulan antara empat pasukan. Ia digantikan oleh liga ‘Swiss Model’, di mana 12 pasukan Asia Barat dan 12 pasukan Asia Timur berentap sesama sendiri untuk bermain lapan perlawanan kumpulan (empat di halaman sendiri, empat di halaman lawan). Lapan pasukan teratas kumpulan akan mara ke pusingan 16 terakhir.

Jika JDT layak sejauh itu, hadiah wang mereka akan naik USD200,000 (RM887,000). Layak satu lamgkah lagi ke suku akhir, Harimau Selatan akan membawa pulang tambahan USD400,000 (RM1.8 juta).

Memandangkan JDT hanya membawa pulang USD350,000 (RM1.5 juta) ketika bergelar juara AFC Cup pada tahun 2015 dulu, ACL Elite merupakan nafas segar yang dialu-alukan oleh juara Liga Super sepuluh kali itu.

Peluang terbesar, sudah tentulah, datang jika menjuarai ACL Elite. Walaupun prospek itu kelihatan agak sukar bagi JDT buat masa sekarang, kejayaan mengejut mereka dalam AFC Cup 2015 merupakan satu peringatan bahawa dalam bola sepak, segalanya tak mustahil.

Hadiah menjuarai ACL Elite telah meningkat kepada USD12 juta (RM53.2 juta), lebih daripada cukup untuk menampung belanja sebuah kelab Liga Super selama satu musim.

Tetapi hadiah sebenar datang selepas itu. Baru-baru ini FIFA telah mengubah format Club World Cup – yang akan dimainkan setiap empat tahun dan menampilkan 32 kelab terbaik seluruh dunia – sebagai produk terbarunya.

Dalam Club World Cup yang baharu ini, kelab Asia akan mendapat empat slot, yang akan diberikan kepada empat pemenang ACL Elite di empat tahun sebelumnya.

Prospek untuk bermain di Club World Cup, yang akan dianjurkan di Amerika Syarikat pada tahun depan, adalah cita-cita setiap peserta ACL Elite. Ini kerana kejohanan FIFA itu menjanjikan wang penyertaan €50 juta (RM243 juta) kepada setiap pasukan.

Wang hadiah sebanyak itu tidak pernah didengari, bukan sahaja dalam konteks bola sepak Malaysia, malah dalam konteks sukan Malaysia juga. Ia jumlah wang yang berpotensi mentransformasi landskap sesebuah kelab. Ini peluang yang hanya terjelma jika anda mengambil serius cabaran ACL Elite.

Melihat keaktifan JDT dalam jendela perpindahan pemain baru-baru ini, tidak sukar untuk membuat deduksi bahawa Harimau Selatan mengambil serius cabaran ACL Elite. Dua dekad lepas, di kala pasukan-pasukan Liga Super tak pernah terfikir pun untuk menjadi juara AFC Cup, JDT membuktikan mereka boleh melakukannya.

Jika ada satu kelab di Malaysia — maafkan saya, di Asia Tenggara — yang boleh melakukannya di pentas ACL Elite pada satu hari nanti, JDT adalah taruhan saya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN