Thailand mempunyai Nualphan ‘Madam Pang’ Lamsam. Indonesia mempunyai Erick Thohir. Dua individu ini bukan sekadar pemimpin; mereka adalah pemimpin yang menginspirasikan keyakinan.
Di Thailand, pendekatan amali (hands-on approach) dan pemberian insentif kewangan Madam Pang semasa bergelar pengurus Changsuek bertanggungjawab membawa ranking FIFA mereka dari kedudukan 120 ke 101. Lain pula pendekatan Erick Thohir di Indonesia. Reformasi struktur dan polisi menaturalisasikan pemain warisannya telah membawa ranking FIFA Indonesia dari kedudukan 146 ke 133.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Siapa individu yang paling berkemampuan untuk menginspirasikan Harimau Malaya yang kini berada di kedudukan 134 ranking FIFA? Jawapannya satu sahaja: DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Reformasi struktur di FAM
Tempoh kepimpinan baginda sebagai Presiden FAM antara 2017-2018 sinonim dengan satu perkara: reformasi struktur. Ketika DYAM Tunku Mahkota Ismail mula-mula mengambil alih tampuk kerusi Presiden, FAM merupakan organisasi yang ‘sakit’. Hutang RM9 juta kepada 24-pasukan liga tak dibayar. Itu tak termasuk hutang lapuk RM12 juta dan saman RM6.5 juta daripada MP & Silva.
Baginda bagaimanapun tidak lari dari tanggungjawabnya. Malah baginda menggunakan duitnya sendiri untuk ‘memulihkan’ FAM—RM4 juta untuk menyokong program pembangunan bola sepak, RM1.4 juta untuk melangsaikan baki hutang MP & Silva, lagi RM1.4 juta untuk memulihkan padang SNBJ dan jutaan ringgit lagi yang tak diumum untuk membeli bas, menaikkan kualiti jurulatih skuad kebangsaan serta memperbaiki prasarana padang seluruh negara.
Ketika melepaskan jawatan Presiden, DYAM Tunku Mahkota Ismail meninggalkan FAM dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding ketika mula-mula mengambil alih.
Persoalannya sekarang—mengapa Baginda perlu kembali terlibat dalam urusan bola sepak kebangsaan semula? Dan mengapa sekarang?
Krisis keyakinan FAM–peminat
Pencapaian DYAM Tunku Mahkota Ismail bersama JDT tidak perlu diingatkan lagi. Kata orang putih, “It’s the stuff of legend’. JDT menjadi JDT sekarang, bukan kerana barisan pemain bintangnya semata-mata. Anda tak menjadi juara ‘Double Quadruple’ dan pasukan dihormati di ACL Elite dengan membeli pemain semata-mata. Anda jadi begitu kerana mempunyai pemimpin yang berkaliber. Pemimpin yang mampu mengekstrak setiap tenaga pemain dengan motivasi yang betul. Pemimpin yang memahami psyche seorang pemain bola sepak elit secara mendalam.
Atas sebab inilah, bola sepak Thailand dan Indonesia memilih Madam Pang dan Erick Thohir sebagai pemimpin mereka. Hanya mereka berdua mempunyai kapasiti, karisma, pengalaman, pengetahuan, visi dan etika kerja untuk memberi inspirasi di negara masing-masing.
Di kala bola sepak Malaysia yang sedang mengalami krisis keyakinan dengan peminat sekarang, tiada siapa pun di FAM yang boleh memancarkan inspirasi. FAM perlu mencari di luar pejabat berhawa dingin mereka di Kelana Jaya. Dan satu-satunya individu di Malaysia yang mempunyai kapasiti, karisma, pengalaman, pengetahuan, visi dan etika kerja itu seperti Madam Pang dan Erick Thohir adalah, tak lain tak bukan: DYAM Tunku Mahkota Ismail.
Harimau Malaya perlukan The TMJ Effect
Cuma berbezanya kali ini, adalah lebih baik jika DYAM Tunku Mahkota Ismail dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan. Mengapa bukan sebagai Presiden FAM? Jawapannya—fokus.
Sebagai presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Ismail akan dibebankan dengan masalah-masalah struktur. Bakat dan kapasiti baginda, pada ketika ini, lebih baik diletakkan di atas padang, di tempat impaknya paling diperlukan. Sebagai pengurus skuad kebangsaan, baginda boleh fokus kepada bakat terbesarnya—membina pasukan yang akan menang.
Hanya DYAM Tunku Mahkota Ismail yang mempunyai magnetisme untuk meyakinkan pemain-pemain warisan berkualiti, yang bermain di luar negara, untuk menyarung jersi kuning hitam Harimau Malaya.
DYAM Tunku Mahkota Ismail juga merupakan satu-satunya individu di Malaysia yang mempunyai jaringan kenalan bola sepak global terluas. Dan yang paling penting, jaringan baginda mempunyai ‘pemberat’. Dapat kenal dengan baginda adalah satu keistimewaan buat kelab-kelab dan persatuan-persatuan di luar negara. Ini membolehkan Harimau Malaya mempunyai peluang untuk beradu kekuatan dengan lawan-lawan yang lebih berkualiti dalam perlawanan persahabatan.
Bukan berlawan dengan Nepal sebagai persiapan Piala Asia.
Dan yang paling penting, penglibatan baginda dalam persiapan skuad Harimau Malaya juga menjamin pemain-pemain kebangsaan untuk mendapat akses fasiliti bertaraf dunia milik JDT.
Kerajinan baginda memantau sesi latihan, serta corak pengurusan amalinya pula pasti akan memberi inspirasi kepada pemain.
Harimau diperlukan sekarang
Ketika melepaskan jawatan presidennya pada 25 Mac 2018, DYAM Tunku Mahkota Ismail memberitahu sebabnya:
“Saya ni ibarat seekor harimau yang tak patut berkhidmat untuk kambing biri-biri kerana harimau dan kambing biri-biri tak boleh hidup bersama. Harimau kena berkhidmat kepada harimau sahaja.”
Tanpa disangkal lagi, Harimau Malaya ketika ini memerlukan ‘harimau’. ‘Kambing biri-biri’ mungkin pilihan yang selamat untuk jawatan pengurus skuad kebangsaan—tetapi kita akan berisiko ditinggalkan jauh oleh Thailand dan Indonesia.
Sekarang masa untuk membawa DYAM Tunku Mahkota Ismail kembali ke Harimau Malaya. Tetapi bukan untuk menjadi ketua birokrat yang menangani politik FAM, tetapi untuk mengembalikan roh ‘Harimau’ kepada nama Harimau Malaya.