Nidzam Adha tampil dengan pendedahan cukup menyedihkan baru-baru ini menerusi perkongsian Astro Arena, selepas beliau menyatakan isu kewangan yang melanda beliau bersama para pemain Kuala Lumpur Extension.
Terdahulu, bekas pemain Kedah ini berjaya memastikan skuad Wilayah Persekutuan meraih pingat emas pada saingan SUKMA 2024 yang berlangsung di Sarawak.
Pada aksi akhir itu, skuad muda Kuala Lumpur City (KL City) memastikan pingat emas menjadi milik mereka menerusi kemenangan 2-1 untuk membanggakan para peminat.
Di sebalik kejayaan itu, sebenarnya ada suatu yang sangat menyedihkan berlaku buat kem bola sepak Wilayah Persekutuan, apabila mereka turut dihimpit dengan isu kewangan cukup membarah.
Ada pemain KL extention ikat perut, RM50 cuba bertahan sehingga seminggu, tiada duit makan pagi, tiada duit makan malam, dalam wallet tinggal RM 2 je ..
Allahuakbar .. 😭@ASTROARENA pic.twitter.com/R7LHrAL1ee
— FinaNasrom (@fnasrom) August 28, 2024
Seperti diketahui, KL City sebelum ini menjadi antara kelab yang menanggung krisis kewangan cukup besar sehingga ia didedahkan sendiri oleh salah seorang pemain skuad utama iaitu Paulo Josue.
Tatkala ramai memberi perhatian buat skuad senior, nyata pemain muda kelab itu juga turut sengsara tanpa kewangan yang baik untuk menjalani sesi latihan atas tunggakan gaji.
Menerusi perkongsian Nidzam, ada pemain terpaksa mengikat perut dengan berbekalkan hanya RM50 seminggu untuk menggambarkan betapa teruknya keadaan mereka sekarang.
Namun atas asbab pengorbanan demi menjulang maruah pasukan, pemain tetap turun menjalani sesi latihan sebagai persiapan untuk ke pentas SUKMA.
Hasilnya, mereka berjaya merangkul emas dan kebanyakan pemerhati bola sepak tempatan hanya melihat kejayaan tanpa mengetahui sebuah kebenaran menyakitkan dialami pasukan itu.
“Memang benar, ada ketika sebulan sebelum kita ke Sarawak para pemain tidak mempunyai wang untuk datang latihan.
“Tapi, para pemain sanggup berkorban untuk mencapai sasaran. Mereka tinggalkan masalah kewangan dan turun berlatih juga demi mencapai sasaran.
“Memang mereka cakap tak ada duit untuk turun latihan, tak ada duit untuk sarapan pagi, tak ada duit untuk makan malam, jadi saya terpaksa memberi tambahan motivasi.
“Kami para kejurulatihan terpaksa beritahu para pemain mengenai masa depan mereka dan tidak mengalah selain meneruskan perjuangan sehingga mencapai sasaran dan ganjaran bakal menanti,” ujar Nidzam menerusi perkongsian Astro Arena.
Kami di Semuanya BOLA juga turut bersimpati akan nasib dialami oleh Nidzam bersama pemain dan berharap segala kemelut melanda dapat diselesaikan.