Seperti diketahui, Cristiano Ronaldo merupakan ikon atau pempengaruh yang cukup terkenal di media sosial selepas beliau mencipta fenomena tersendiri dalam dunia bola sepak untuk dikenali seluruh dunia.
Baik kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa, hampir setiap orang mengenali susuk tubuh ini yang pernah dianggap sebagai pemain bola sepak terbaik pernah wujud selain seteru beliau iaitu bekas bintang Barcelona, Lionel Messi.
Ronaldo bukan sahaja mencipta pelbagai rekod sensasi sebelum ini dalam dunia bola sepak, malahan beliau juga sering dianggap sebagai pempengaruh yang begitu terkenal di media sosial.
Terbaharu, Ronaldo telah mencipta akaun Youtube dengan diberi nama UR Cristiano sebagai wadah baharu untuk mendekatkan beliau bersama para peminat di seluruh dunia.
A present for my family ❤️ Thank you to all the SIUUUbscribers! ➡️ https://t.co/d6RaDnAgEW pic.twitter.com/keWtHU64d7
— Cristiano Ronaldo (@Cristiano) August 21, 2024
Bayangkan, dalam masa 90 minit sahaja akaun itu dicipta hampir sejuta orang telah pun mengikuti beliau dan ia merupakan suatu rekod cukup hebat dicipta oleh Ronaldo.
Sebagai pempengaruh di tahap global, ia sebenarnya bukan sukar buat Ronaldo untuk menarik sebegitu ramai orang untuk menekan butang ‘subscribe’ di saluran Youtube beliau.
Menerusi satu perkongsian, Ronaldo sebenarnya memiliki lebih 900 juta pengikut di seluruh media sosia rasminya dan bukan sesuatu pelik buat bintang bola sepak Portugal tersebut.
Sehingga artikel ini ditulis, jumlah ‘subscriber’ saluran Youtube milik Ronaldo kini sudah pun menghampiri 9 juta dan beliau sudah pun diberi penghargaan Youtube Gold Creator.
Malah, beliau kini juga semakin hampir untuk meraih Youtube Diamond Creator kerana jumlah pengikut beliau di saluran tersebut semakin hampir mencecah 10 juta.
Menerusi perkongsian laman Marca, Ronaldo jelas sangat teruja untuk menaikkan lagi pelbagai perkara di saluran Youtube beliau pada masa akan datang buat para peminatnya.
“Saya sangat gembira untuk melakukan projek ini berjaya dalam karier saya. Ia sudah berada dalam fikiran saya sebelum ini dengan begitu lama. Tetapi akhirnya kini ia sudah pun berjaya direalisasikan,” jelas beliau.
Pada masa sama, bekas pemain Manchester United itu turut menyatakan saluran Youtube tersebut bakal melangkaui tentang dunia bola sepak serta akan menyertakan sekali mengenai kehidupan semasa termasuk keluarganya, rutin harian, tip nutrisi, serta perniagaan milik Ronaldo.
Cristiano Ronaldo has broken the world record for becoming the fastest YouTube channel to hit 1 million subscribers (90 minutes) 🤯🐐 pic.twitter.com/WPDjBLMuX8
— ESPN UK (@ESPNUK) August 21, 2024
Akhir sekali, Ronaldo turut memberi bayangan bakal membawa tetamu istimewa yang pastinya akan memberi kejutan buat para pengikut beliau pada masa akan datang.
Sama ada anda peminat setia Ronaldo atau pembenci beliau, saluran Youtube pemain kelab gergasi Asia, Al-Nassr ini sudah tentu akan menjanjikan suatu kelainan menarik untuk diketahui tentang beliau dengan lebih mendalam.