Semalam, salah satu aksi Liga Super musim 2024/2025 membabitkan pertemuan antara Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) telah pun ditunda kepada suatu tarikh baharu kerana isu hujan lebat.
Aksi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Perak, Ipoh itu pada awalnya dihentikan seketika kerana hujan lebat yang menyukarkan perlawanan untuk diteruskan sebelum ia diumumkan sendiri oleh Malaysia Football League (MFL) untuk ditunda.
“Perlawanan Liga Super antara Perak FC lwn Johor Darul Ta’zim di Stadium Perak yang dihentikan akibat hujan lebat akan ditunda ke suatu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak,” jelas kenyataan tersebut.
Walaupun begitu, Zhafri Aminurrashid selaku Peguam Sukan tampil dengan suatu kenyataan mengenai aksi tersebut tidak sepatutnya ditunda dan mempertikaikan situasi pengadil perlawanan.
“Jom belajar Manual Pertandingan. Bagi mereka yang nak tahu. Yup memang dalam manual pertandingan dibenarkan untuk perlawanan dihentikan dan ditunda atas sebab yang munasabah oleh Komisioner Perlawanan (KP).
“Ada dua window untuk KP buat keputusan. Iaitu pada 30 minit pertama atau 30 minit kedua. Jika dirujuk kepada insiden semalam, pengadil buat keputusan untuk tunda perlawanan pada sekitar jam 9.50 malam. Which is belum lagi habis 30 minit penangguhan kedua. Hujan ketika itu sudah pun reda dan padang kelihatan semakin baik.
“Satu lagi isu, pengadil hanya ada hak untuk berhenti or tangguh perlawanan sekiranya berlakunya isu-isu diatas padang. Selain dari itu kuasa hanya kepada KP. Jika dilihat video, kelihatan seperti pengadil yang ingin memberhentikan perlawanan. Janggal disitu.
“Boleh je KP tunggu smpi habis 60 minit penangguhan then buat lah apa keputusan kamu nak buat. Ikutlah manual yg kamu sendiri buat. Kos perlawanan semalam siapa nak tanggung? Ariesham berapa kos semalam burn? ” jelas Zhafri di media sosial Facebook sebentar tadi.
Mengenai penangguhan tersebut, kedua pssukan sebelum itu bersetuju setelah masing-masing mendapat penjelasan daripada KP serta pengadil bertugas.
Sehingga kini masih belum diketahui tarikh baharu untuk aksi tersebut kembali berlangsung, dengan ada kemungkinan ia bakal ditunda tidak begitu lama.
Pada aksi semalam, jelas keadaan padang di stadium tersebut tampil begitu teruk dengan ia menyukarkan kepada dua pasukan itu untuk mengawal bola dengan lebih baik serta membuat hantaran-hantaran berkualiti ke arah gawang gol.
Para penyokong kedua pasukan pastinya antara yang kecewa kerana hasrat untuk melihat aksi tersebut berlangsung sehingga ke penamat tidak kesampaian kerana penundaan tersebut.
Bagaimana pula pandangan anda? Adakah aksi tersebut wajar ditunda atau sepatutnya diteruskan sahaja kerana hujan ketika itu sudah pun semakin reda selepas perlawanan dihentikan seketika.