Kedah Darul Aman (Kedah) secara rasminya telah pun tersingkir di pentas separuh akhir Piala FA 2024/2025, setelah mereka akur menerusi kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025, Sang Kenari merekodkan kekalahan 0-3 atau secara agregat 1-5 kepada JDT walaupun tampil dengan corak permainan sedikit menyakinkan.
JDT tampil dengan tiga jaringan menerusi ledakan Feroz Baharudin, bintang penyerang dari Brazil iaitu Bergson da Silva, serta jaringan akhir daripada Juan Muniz Gallego untuk menamatkan sisa perjuangan Sang Kenari.
Keputusan itu menyaksikan JDT akhirnya bakal membuat perhitungan bersama Selangor yang terlebih dahulu mara ke final setelah mengatasi cabaran daripada Terengganu.
Mengimbas kepada aksi terdahulu, kem Kedah sebenarnya tidak perlu merasa terlalu kecewa akan kekalahan tersebut jika mereka melihat daripada beberapa faktor.
Menerusi pandangan kami di Semuanya BOLA, kualiti ditampilkan oleh JDT itu sendiri menceritakan segalanya mengapa ia dianggap sukar buat Kedah atau mana-mana kelab lain dalam Malaysia kini.
Khususnya, JDT beraksi di kubu kebal mereka iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang tidak pernah mengecewakan penyokong Harimau Selatan bagi aksi domestik atau antarabangsa.
Beraksi di gelanggang keramat lawan yang disertakan sorakan padu para peminat JDT pastinya sedikit sebanyak memberi rasa gugup buat mana-mana pemain kelab lawan termasuk Kedah untuk menghadapinya.
Kualiti dan kuantiti import
Perbezaan ketara sudah tentu membabitkan kuantiti import kedua pasukan tersebut selain kualiti yang turut menjadi pemisah utama antara Kedah dan JDT.
Pada aksi tersebut, JDT menyenaraikan tujuh pemain import sementara pelawat hanya meletakkan lima pemain bagi kuota tersebut termasuk di bangku simpanan.
Selain isu kuantiti, sudah tentu kualiti juga perlu digariskan pada aksi ini dengan JDT memiliki pemain import bagus seperti Bergson, Heberty, Jordi Amat dan lain-lain yang sudah pun terbukti.
Malah pada aksi tersebut masing-masing berjaya memainkan peranan besar buat JDT dan memastikan Harimau Selatan sentiasa berada pada kelas tersendiri jika dibandingkan Kedah.
Isu semasa kedua kelab
JDT boleh dikatakan langsung tidak mempunyai sebarang isu dalam atau luar padang sejak beberapa musim ini dengan pengurusan mereka dianggap lancar membuat kerja.
Kelancaran itu menyaksikan para pemain kelab tersebut langsung tidak kehilangan sebarang fokus dengan kebajikan mereka juga dijaga begitu baik oleh kelab.
Sementara Kedah pula menghadapi pelbagai isu dalaman sejak penghujung saingan lalu dan dibawa sehingga musim ini seperti masalah kewangan, tajaan, serta jersi baharu lambat diperkenalkan.
Mampu untuk melayakkan diri ke separuh akhir sebenarnya merupakan sesuatu yang sudah cukup baik buat Kedah dan para pemain Sang Kenari jugs dilihat sudah bekerja begitu keras untuk menjulang nama kelab.