Filem Deadpool 3 ketika ini menjadi antara yang sangat tular di seluruh dunia dan ia sering menjadi sebutan ramai dalam media sosial kerana pengaruh lakonan dibawa oleh Ryan Reynolds bersama Hugh Jackman.
Untuk filem ketiga ini, ramai menyatakan ia tampil sangat berbeza berbanding dua filem terdahulu dengan turut menampilkan banyak varian Deadpool dari dunia berbeza.
Dalam kebanyakan watak Deadpool di filem tersebut, rupa-rupanya salah seorang daripada mereka merupakan pemain bola sepak profesional dari England.
Pemain dikatakan tersebut adalah Paul Mullin yang merupakan antara tonggak buat Wrexham dan kelab tersebut dimiliki oleh watak utama Deadpool 3, Reynolds.
You may have noticed one member of the Deadpool Corps was far deadlier than the rest. WELSHPOOL. @PMullin7 @Wrexham_AFC #DeadpoolAndWolverine ❤️💛 pic.twitter.com/NY06jmEgwA
— Ryan Reynolds (@VancityReynolds) July 29, 2024
Ianya dikongsikan sendiri oleh Reynolds melalui media sosial X dengan mempamerkan dirinya bersama Mullins yang memakai sut Deadpool bagi varian Welshpool.
“Anda mungkin perasan salah seorang ahli Deadpool yang jauh lebih mematikan daripada yang lain. Welshpool,” jelas Reynolds di media sosial X.
Perkongsian tersebut jelas mendapat pelbagai komen positif daripada peminat yang turut memuji lakonan Mullins selaku Welshpool dalam filem tersebut.
Tak kurang yang masih terkejut kerana tidak menyangka pemain bola sepak Wrexham menjadi salah seorang daripada begitu ramai varian Deadpool di filem itu.
Selain Mullins, perkongsian kami sebelum ini turut menyatakan seorang lagi pemain dari Wrexham yang mencipta ‘cameo’ dalam filem tersebut iaitu Ollie Palmer.
Palmer membuat penampilan ringkas dalam adegan pertama trailer filem itu, di mana babak membabitkan Deadpool berjalan ke arah Wolverine di sebuah bar. Pemain tersebut dilaporkan memakai baju putih, jeans, serta dipadankan oleh jaket denim, bersama rambut gelap dan janggut tebal.
Palmer menyertai Wrexham dari AFC Wimbledon pada Januari 2022, setahun selepas Reynolds dan pencipta bersama It’s Always Sunny In Philadelphia iaitu Rob McElhenney, 46, hadir mengambil alih kelab tersebut.
Sejak itu, kelab bola sepak dari Wales tersebut telah meraih dua promosi berturut-turut di England, dan melalui siri dokumentari popular, Welcome To Wrexham, ia berjaya menarik perhatian global.
Musim ini menyaksikan Wrexham bakal beraksi di pentas EFL League One selepas merekodkan keputusan cukup baik pada saingan lalu untuk berada di tangga kedua EFL League Two daripada 24 pasukan bertanding.
Perkara dilakukan Reynolds ini jelas sangat unik kerana beliau membawa dua pemain bola sepak untuk menceburi bidan lakonan walaupun babak membabitkan mereka hanya beberapa minit di filem tersebut.