Pengadil Selangor-Pulau Pinang Juga Perlu Diberikan Spotlight

Dalam masa 48-jam lepas, Liga Super kembali ‘panas’ apabila peminat memperdebatkan keputusan pengadil dalam beberapa perlawanan. Pertama, insiden pembantu pengadil dalam perlawanan Kelantan Darul Naim menentang Perak.

Insiden kedua melibatkan pemain pertahanan Terengganu, Ubaidullah Shamsul, telah mendominasi tajuk utama, mengatasi kontroversi pengadilan lain yang kritikal. Keputusan untuk memberikan kad merah kepada Ubaidullah atas kesalahan Denial of an Obvious Goal-Scoring Opportunity (DOGSO) dan memberikan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menarik perhatian dan kritikan meluas.

Insiden Ubaidullah–Bergson

Insiden tersebut berlaku pada minit ke-27 apabila Ubaidullah didapati mengasari penyerang JDT, Bergson, di dalam kawasan penalti. Bergson cuba menyambar bola hantaran lintang Arif Aiman. Ubaidullah cuba menghalang Bergson daripada berbuat demikian. Akibatnya, Bergson jatuh dan sepakan penalti diberikan kepada JDT.

Ketika peminat masih cuba menghadam keputusan penalti itu, pengadil Fitri Maskon menaikkan lagi suhu perlawanan dengan memberi Ubaidullah kad merah. Barangkali atas kesalahan DOGSO.

Akibatnya, perhatian semua orang terarah kepada insiden kontroversi tersebut. Tiada langsung perhatian diberikan kepada insiden-insiden lain yang melibatkan keputusan pengadil — seperti yang berlaku 24 jam selepas itu di Stadium MBPJ.

Insiden Selangor–Pulau Pinang

Di tengah-tengah kehangatan perdebatan keputusan Fitri Maskon di Stadium Sultan Ibrahim, keputusan pengadil Ahmad Zuhadi pula tidak mendapat perhatian yang sama.

Dalam perlawanan antara Selangor dan Pulau Pinang, terdapat dua insiden kontroversi yang melibatkan pemain Selangor:

1. Insiden Siku Mukhairi Ajmal

Pada minit ke-47, pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal, dilihat menyiku pemain pertahanan Pulau Pinang. Anehnya, pengadil tidak memberikan kad kuning kepada Mukhairi, mahupun menghadiahkan sepakan percuma kepada Pulau Pinang. Keputusan untuk tidak mengambil tindakan terhadap insiden tersebut membingungkan penyokong Pulau Pinang dan penonton neutral. Tindakan tersebut sekurang-kurangnya perlu dihukum kad kuning dan sepakan percuma untuk Pulau Pinang.

2. Penalti ‘soft’ Ronnie Fernandez

Kemudian pada minit ke-65, penyerang Selangor, Ronnie Fernandez, diberikan penalti selepas kelihatan jatuh dengan mudah. Kurangnya sentuhan dan keterlaluan dalam jatuhan tersebut menimbulkan seruan untuk mengkaji semula keputusan itu. Penalti tersebut, yang disempurnakan oleh Fernandez, menjadi faktor penting dalam memastikan keputusan yang memihak kepada Selangor.

Panggilan untuk konsistensi

Apa yang dikhuatiri adalah insiden kad merah Ubaidullah ini akan membuatkan kita fokus kepada isu yang tak relevan — kononnya pengadil bias kepada pasukan tertentu. Sedangkan isu pokoknya adalah kualiti pengadil Liga Super yang masih gagal membuat keputusan betul — apatah lagi dengan bantuan VAR.

Dalam erti kata lain, kita dah terkena bahana ‘salience bias’.

Salience bias adalah kecenderungan untuk memberi perhatian lebih kepada maklumat yang paling menonjol atau beremosi. Bila kita terlalu fokus kepada isu yang beremosi, kita cenderung untuk mengabaikan maklumat yang mungkin lebih relevan atau penting.

Sebagai contoh, kita takut naik kapal terbang, tapi tak rasa ketakutan sama bila naik kereta. Sedangkan kalau mengikut statistik, kebarangkalian kita untuk mendapat kemalangan kereta jauh lebih tinggi berbanding kemalangan kapal terbang. Tapi disebabkan kita telah ‘dimomokkan’ dengan filem kemalangan kapal terbang dan berita-berita sensasi tentang kemalangan kapal terbang, kita menganggap kapal terbang lebih berbahaya daripada kereta.

FAM perlu proaktif

Sementara perdebatan ini berterusan, adalah penting untuk kita fokus kepada usaha meningkatkan standard pengadilan dalam bola sepak Malaysia. Memastikan pengadil diberi latihan dan sokongan yang mencukupi dapat membantu meminimumkan kontroversi seperti ini pada masa akan datang.

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mesti mengambil langkah proaktif untuk menangani kebimbangan ini, melaksanakan langkah-langkah yang mempromosikan keadilan dan integriti dalam sukan ini.

Walaupun insiden melibatkan Ubaidullah Shamsul tetap menjadi topik perbualan, adalah penting untuk tidak mengabaikan keputusan-keputusan lain yang sama penting yang memberi kesan kepada hasil perlawanan. Hanya dengan berbuat demikian, barulah kita dapat mewujudkan persekitaran bola sepak yang lebih seimbang dan adil untuk semua pasukan dan penyokong.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN