Penang yang baharu saja meraih kemenangan sulung minggu lalu gagal meneruskan konsistensi tersebut, apabila kali ini mereka mencipta kekalahan besar di tangan Selangor bagi aksi Liga Super musim 2024/2025.
Pada aksi tersebut, Penang tampil dengan serba tidak menjadi terutama membabitkan daripada segi penguasaan bola, kreativiti serangan, serta kerapuhan jentera pertahanan.
Keputusan 1-4 menyaksikan Penang hanya mampu meledak satu jaringan sahaja melalui sepakan penalti Rafael Vitor dan dibolosi seawal minit ketiga menerusi Mukhairi Ajmal.
Tiga lagi jaringan Selangor terhasil melalui sepakan penalti Yohandry Orozco, Alvin Fortes serta Quentin Cheng di masa tambahan separuh masa kedua.
Musim ini menyaksikan skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli hanya merekodkan satu kemenangan sahaja setelah mengharungi sembilan perlawanan di pentas domestik.
Bermula dengan dua keputusan seri berturut-turut tanpa sebarang jaringan gol, pasukan ini gagal meraih walau satu kemenangan setelah melalui tujuh perlawanan peringkat domestik musim ini.
Lebih mengharukan, pasukan ini gagal mencatat sebarang kemenangan sepanjang tiga kali berturut-turut bertemu Kedah Darul Aman (Kedah) dan tersingkir di pentas suku akhir Piala FA.
Hanya pada 13 Julai lalu, Penang akhir berjaya meraih kemenangan sulung sewaktu menghadapi cabaran Perak di gelanggang lawan menerusi keputusan 2-0.
Momentum positif itu walau bagaimanapun gagal untuk dipertahankan mereka dengan kekalahan besar dicipta Penang semalam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Secara keseluruhan, banyak kerja perlu dilakukan oleh Akmal untuk beliau kembali memantapkan pasukan itu demi memberi persaingan sengit buat kelab lawan.
Apatah lagi beliau juga memiliki kekangan daripada segi kualiti serta kuantiti dalam senarai pilihan pemain jika dibandingkan pasukan-pasukan lain.
Suka atau tidak, Penang perlu mencipta rombakan kecil sekurangnya pada jendela perpindahan kedua tidak lama lagi dengan beberapa pemain import wajar ditukar serta ditambah daripada segi jumlah.
Keutamaan pastinya membabitkan posisi tengah menyerang serta seorang lagi penyerang lebih berbisa sekurangnya yang lebih berkualiti jika dibandingkan dengan apa dimiliki sekarang.
Jika tiada sebarang rombakan langsung dibuat dan keadaan Penang terus kekal seperti ini, ada kemungkinan mereka akan terus mengulangi episod-episod musim lalu.