Indonesia menjadi antara negara yang kini memiliki ramai pemain beraksi di luar negara terutama sekitar Eropah dalam pelbagai peringkat saingan serta posisi dengan status tersendiri.
Ada masih kekal beraksi di Eropah selaku status pemain paling penting buat kelab diwakili, namun tak kurang beberapa bintang utama Sang Garuda sehingga kini masih lagi sukar untuk mendapat peluang kesebelasan utama atau berstatus bebas tanpa pasukan.
Untuk saingan yang akan berlangsung musim 2024/2025 ini, beberapa pemain Indonesia dilaporkan masih belum memiliki kelab untuk diwakili di Eropah sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan peminat mengenai masa depan mereka.
Menurut perkongsian Bola.com, walaupun beberapa khabar angin timbul mengenai masa depan mereka bersama kelab baharu, sehingga kini status pemain-pemain tersebut sah masih tiada pasukan untuk diwakili.
Berikut merupakan tiga nama pemain bintang Sang Garuda yang masih belum mempunyai kelab serta berstatus bebas di Eropah.
Thom Haye
Thom merupakan salah seorang pemain warisan Indonesia yang sebelum ini telah pun beraksi di Belanda bersama SC Heerenveen dalam saingan Eredivisie.
Namun kontraknya bersama pasukan tersebut kini sudah pun berakhir dan suka atau tidak, Thom perlu memulakan karier baharu beliau bersama pasukan berbeza pada saingan hadapan.
Dengan status bebas, Thom terdahulu dilaporkan bakal menyertai salah satu kelab di Itali iaitu FC Como sebelum ianya dinafikan selain turut dikaitkan bersama beberapa lagi pasukan berbeza.
Ragnar Oratmangoen
Salah seorang pemain sayap lincah Indonesia ini juga nampaknya masih lagi mempunyai masa depan kabur di Eropah selepas kelabnya iaitu FC Groningen bakal melepaskannya pada saingan musim hadapan.
Jika diikutkan, perjalanan karier Oratmangoen bersama FC Groningen sememangnya kurang baik setelah dirinya terdahulu pernah dipinjamkan bersama Fortuna Sittard.
Status Oratmangoen sehingga kini masih belum diputuskan dengan dirinya perlu mendapatkan pasukan baharu setelah nama beliau tiada dalam perancangan FC Groningen.
Marselino Ferdinan
Nama Marselino mungkin begitu gah kini selaku salah seorang ‘wonderkid’ buat pasukan kebangsaan Indonesia dalam kalangan peminat serta pengamal media tempatan.
Namun, ianya tidak seiring akan perkembangan beliau bersama kelab diwakili kini iaitu KMSK Deinze, setelah Marselino tidak ditawarkan kontrak baharu bersama pasukan tersebut pada saingan hadapan.
Menerusi khabar angin dikeluarkan oleh media, Marselino berkemungkinan akan menyambung karier beliau di England untuk mewakili Oxford United yang kini berada bawah naungan Erick Thohir sendiri.