Pemain tengah Selangor iaitu Safuwan Baharudin antara wajar menerima pujian pada aksi suku akhir kedua Piala FA lalu sewaktu pasukan tersebut mencipta kemenangan mengatasi Kuching City.
Safuwan yang kembali ditandatangani pada pertengahan musim lalu menampilkan aksi yang cukup berkualiti buat The Red Giants dengan kemampuannya untuk bermain di beberapa posisi mengikut kesesuaian taktikal.
Namun, salah satu kelebihan lain dimiliki bintang Singapura ini pastinya terarah kepada sikap kepimpinan beliau untuk memastikan para pemain muda Selangor kekal konsisten sehingga ke akhir permainan.
Ianya dibuktikan sendiri ketika dalam situasi penentuan sepakan penalti lalu apabila Safuwan menjadi pemain Selangor pertama mengambilnya demi memberi motivasi serta mengurangkan tekanan buat bintang-bintang muda The Red Giants.
Cetusan awal dilakukan oleh Safuwan itu memastikan pemain-pemain lain berjaya menyempurnakan sepakan tersebut sekali gus memastikan Selangor mara ke pusingan separuh akhir untuk menentang Terengganu.
Apa yang dilakukan oleh Safuwan pada aksi itu jelas mendapat pujian positif daripada pengendali Selangor iaitu Nidzam Jamil dengan menganggap bintang Singapura itu selaku contoh terbaik untuk diteladani.
“Saya boleh katakan Safuwan adalah contoh terbaik. Dia ketuai sepakan penalti dan mengambil sepakan pertama untuk mengurangkan tekanan kepada adik-adiknya,” kata beliau menerusi laporan dikeluarkan oleh KOSMO.
Selain menjadi contoh terbaik ketika penentuan sepakan penalti itu, Safuwan boleh dianggap sebagai salah seorang pemain paling rajin pada aksi itu dengan beliau menjadi watak penting untuk memberi keseimbangan buat pertahanan serta serangan Selangor.
Malah barisan serangan Kuching City sendiri mengalami kesukaran sepanjang aksi itu untik cuba melepasi Safuwan secara individu serta memenangi pertarungan bola di udara.
Pada masa sama, Nidzam turut memuji barisan pemain muda Selangor yang dianggap telah memberi impak cukup besar untuk membawa pasukan tersebut ke pusingan separuh akhir.
Malah Nidzam sendiri menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sesuatu sangat gila dan para pemaim telah memberikan segalanya untuk memastikan kejayaan dapat digenggam.
“Ini adalah perlawanan yang ‘gila’ dan penuh debaran serta drama sepanjang perlawanan. Semua pemain telah berikan segalanya kerana kami benar-benar mahukan kemenangan ini untuk berada di separuh akhir.
“Pujian harus saya tujukan kepada semua pemain hasil kerja keras mereka dan generasi muda kami telah buktikan mereka sudah dewasa dan ini adalah skuad yang dahagakan kejayaan,” kata beliau akhir sekali.