Ramon Machado secara rasminya kini sudah pun tidak akan lagi bersama Sabah selepas mengharungi aksi ke-28 beliau di Malaysia buat pasukan tersebut semalam sewaktu menentang Terengganu.
Hadir pada pertengahan musim 2023, kelibat Machado jelas tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan impak cukup cemerlang terutama buat siri serangan Sabah.
Pemain kelahiran Brazil itu sebelum ini dilaporkan sudah pun memberi suatu petanda beliau tidak akan kekal lebih lama buat The Rhinos sebelum Sabah sendiri mengesahkan aksi bertemu Terengganu merupakan penampilan terakhir buat dirinya.
“Bagi pihak kelab dan seluruh warga Sabah FC, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ramon atas sumbangan beliau terhadap pasukan yang kita cintai ini.
“Sejak penampilan pertama beliau, Ramon telah berjaya menambat hati penyokong The Rhinos dengan jaringan-jaringan cantik dan
‘assist’ beliau.
“Sudah pasti kita akan merindui gerakan pantas dan lincah pemain asal Brazil ini di padang,terutamanya gelanggang keramat
Stadium Likas.
“Walaubagaimanapun, kita perlu meneruskan perjuangan yang masih banyak tersisa di hadapan. Bola sepak adalah sukan berpasukan.
“Saya menaruh penuh keyakinan pada semua pemain yang ada untuk terus menggalas tugas membawa cabaran seterusnya. Terus beri sokongan padu dan semoga pasukan kita berjaya mencapai sasaran yang telah kita tetapkan.
“Semoga Ramon dan keluarga selamat kembali ke kampung halaman bersama kenangan indah sepanjang berada di bumi di bawah bayu dan terus maju jaya di masa hadapan,” ujar Md Joh Wid selaku pengurus utama kelab.
Sepanjang bersama Sabah, Machado telah pun meninggalkan catatan cukup cemerlang selaku penyerang utama pasukan tersebut di pentas domestik atau antarabangsa.
Gandingannya bersama Saddil Ramdani di posisi utama serangan Sabah menjadikan mereka antara paling digeruni dalam kalangan pasukan tempatan lain.
Rekod peribadi Machado menyaksikan beliau telah pun meledak 18 gol bersama empat bantuan jaringan daripada 28 penampilan secara keseluruhan.
Ketiadaan pemain Brazil tersebut selepas ini menyaksikan Sabah pastinya akan mendapatkan pengganti baharu pada masa hadapan untuk terus memperkukuhkan jentera serangan.