Pemain muda Selangor, Muhammad Bin Abu Khalil jelas menjadi antara yang sangat bertuah selepas dirinya kini sah menyertai saingan J3 League bersama Osaka FC dengan status pinjaman.
Bermula dengan langkah pertama dengan mengharungi sesi latihan bersama kelab tersebut beberapa minggu lalu, aksi Muhammad jelas berjaya menarik minat pasukan dari Jepun tersebut untuk mengikat dirinya dengan status pinjaman daripada Selangor.
Perkhabaran sebelum itu dinyatakan sendiri oleh bapanya menerusi Facebook dengan Muhammad bakal menjalani latihan bersama pasukan dari divisyen 3 itu semalam.
“Training bersama Osaka FC, semoga Allah permudahkan segalanya,” jelas Abu Khalil menerusi Facebook miliknya bersama gambar Muhammad di lapangan terbang.
Untuk rekod, Muhammad merupakan salah satu tonggak utama buat pasukan kebangsaan bawah 23 (B-23) yang baru sahaja berusia 19 tahun dengan potensi cukup besar.
Pada usia masih muda, dirinya telah pun diberi peluang oleh Juan Torres Garrido untuk beraksi dalam saingan Piala Asia Bawah 23 (B-23) di Qatar selaku pemain tengah bertahan buat Harimau Malaya.
Selain itu, bintang muda Selangor ini juga sudah pun diberi peluang beraksi buat pasukan senior kelab itu sebanyak beberapa perlawanan bersama kualiti cukup menyakinkan di atas padang.
Rekod musim lalu menyaksikan Muhammad telah pun beraksi sebanyak 18 perlawanan di pentas saingan MFL sebelum dipanggil menyertai pasukan senior di Liga Super.
Laporan terbaharu semalam telah pun menyatakan Muhammad secara rasmi dipinjamkan kepada Osaka menerusi laman Selangor di media sosial dan meraih banyak komen positif dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut Muhammad, beliau sendiri seolah tidak menyangka bakal mendapat peluang buat pertama kali untuk beraksi di luar negara pada usia masih muda.
“Syukur Alhamdulillah, siapa sangka saya bakal mendapat peluang untuk beraksi di luar negara buat pertama kali?
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Selangor yang membuka peluang buat saya untuk berhijrah ke Jepun dengan status pinjaman kepada Osaka FC.
“Saya lihat ini adalah peluang terbaik buat diri ini untuk mengembangkan lagi bakat dalam dunia bola sepak bersama sistem dimiliki mereka.
“Secara jujurnya, saya belajar banyak daripada sesi ujian sebelum itu. Sudah tentu saya bersyukur bila Osaka FC mempercayai bakat dimiliki untuk membantu skuad mereka menjadi lebih baik pada saingan J3 League.
“Saya akan lakukan segalanya terbaik untuk keluarga, Selangor, membanggakan Malaysia dengan sasaran lebih ramai bintang muda lain akan dikesan negara lain, InsyaAllah,” ujar beliau.
Untuk rekod, Osaka FC kini berada di kedudukan ketiga dalam saingan J3 League dan berpeluang untuk melayakkan diri ke divisyen kedua musim hadapan jika dilihat pada prestasi semasa.
Apapun, kami di Semuanya BOLA mengucapkan tahniah buat Muhammad yang akan mendapat pendedahan sangat berguna kini di Jepun.